FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang individu dalam buruan mati ditembak, selepas menyerang anggota polis dengan parang di kawasan kebun Air Terjun, Bayan Lepas, Pulau Pinang awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Kamarul Rizal Jenal berkata, dua anggota polis cuba menahan suspek yang juga orang dikehendaki di tempat kejadian pada 3.30 pagi tadi.
Sebaik menyedari kehadiran anggota polis, katanya, suspek bertindak agresif dengan menggunakan sebilah parang untuk menyerang mereka, menyebabkan seorang daripada anggota polis itu cedera di tangan.
Beliau berkata, seorang lagi anggota polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah suspek untuk mempertahankan diri serta memastikan keselamatan rakan setugasnya.
“Suspek terus rebah dan ambulans dihubungi. Namun, hasil pemeriksaan pegawai kesihatan mengesahkan suspek meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Kamarul berkata, siasatan lanjut mendapati individu itu diburu polis berkaitan kes curi dan memiliki tujuh rekod kesalahan lampau berkaitan kes jenayah serta 15 rekod kes dadah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan