Malaysiakini
Jawatankuasa Perundangan Pakatan Harapan merayu agar Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengesahkan sama ada keingkaran perdana menteri, Muhyiddin Yassin untuk segera mengadakan sidang parlimen disokong oleh majoriti Ahli Parlimen.
"Kami merayu Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan budibicara baginda menurut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan untuk mengesahkan sama ada keingkaran perdana menteri ini disokong oleh majoriti ahli parlimen.
"Sekiranya perdana menteri tidak mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka adalah jelas bahawa perdana M-menteri tidak lagi mendapat keyakinan majoriti yang mewajarkan YDPA melaksanakan budi bicara baginda di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan untuk meminta Tan Sri Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jawatankuasa tersebut dianggotai oleh William Leong (PKR-Selayang), Mohamed Hanipa Maiduin (Amanah-Sepang), Ramkarpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R Sivarasa (PKR-Sungai Buloh), Faiz Fadzil (Amanah-Permatang Pasir), Fadhlina Sidek (PKR) dan Zulqarmain Lukman (Amanah).
Jawatankuasa itu berkata penolakan untuk menamatkan darurat dan memanggil segera sidang parlimen oleh perdana menteri dan kabinetnya adalah satu penderhakaan kepada dekri baginda dan penghinaan kepada institusi Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-raja Melayu dan parlimen.
Darurat berkuatkuasa dari 11 Januari dan dijangka berakhir pada 1 Ogos, tertakluk kepada perubahan dan kemungkinan untuk dilanjutkan
Pada 16 Jun lalu, Yang di-Pertuan Agong. Al- Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan pandangan bahawa persidangan parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Baginda pada bulan Februari juga menitahkan bahawa parlimen boleh bersidang semasa darurat, namun tidak diendahkan oleh kerajaan Perikatan Nasional.
Jawatankuasa Perundangan PH berkata, perdana menteri dan kabinet perlu bersikap akauntabiliti terhadap parlimen di mana mereka tertakluk kepada pemeriksaan dan soal selidik oleh wakil rakyat.
"Badan eksekutif perlu melaporkan, menjelaskan dan mempertahankan segala tindakan mereka di parlimen dan dengan cara ini, rakyat dilindungi daripada salah guna kuasa oleh badan eksekutif," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan