Ampun Tuanku, patik mohon mencadangkan

ZULKIFLI SULONG

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah mencadangkan Kerajaan Tanpa Pembangkang. Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan Kerajaan Perpaduan. Veterean DAP, Lim Kit Siang mencadangkan Kerajaan Gabungan.

Ketiga-tiga ‘orang tua’ kita telah membuat cadangan ini walaupun pada garis masa yang berbeza. Walaupun namanya berbeza, matlamat dan maksudnya sama.

Presiden Pas mencadangkan idea ini ketika negara penat berhadapan dengan pilihan raya kecil demi pilihan raya kecil. Ketika itu Pas adalah pembangkang tetapi pemerintah di beberapa negeri.

Dr Mahathir mencadangkan kerajaan perpaduan apabila Langkah Sheraton digerakkan sehingga menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan. Namun ia ditolak oleh semua parti termasuk PH dan Pas yang pernah mencadangkannya.

Terbaru, veteran DAP mencadangkan Kerajaan Gabungan bagi menyelesaikan pertelingkahan yang berpanjangan kerana kali ini rakyat benar-benar menjadi mangsanya.

Ketika negara dan rakyat perlu menjadi tumpuan, negara bergolak kerana politik yang berpanjangan. Semalam, 14 Julai 2021, 118 lagi rakyat negara ini meninggal dunia akibat Covid-19. Sehingga kini 6,503 rakyat negara ini sudah meninggal dunia manakala lebih 856,000 sudah terkena wabak ini.

Majoriti rakyat negara ini semacam sudah mencapai konsensus bahawa kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin telah gagal.

Kalau adapun pihak yang cuba membelanya dengan berkata kerajaan tidak gagal, tetapi yang gagalnya adalah rakyat kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan, ia sudah tidak boleh diterima. Orang ramai menyerang kenyataan ini sehingga memalukan pembuat kenyataan ini sendiri.

Jika berjaya pun sidang Parlimen diadakan, dan kerajaan PN gagal dalam undian percaya atau tidak percaya, apakah kerajaan yang akan dibentuk nanti akan stabil.

Sudah pasti nasib kerajaan PH dan PN akan berulang kembali. Pihak yang kalah akan menyerang kerajaan baharu ini. Ini kerana bentuk undi yang dibuat dalam PRU 14 lalu tidak memberikan mandat kepada mana-mana parti dengan jelas dan mempunyai majoriti yang cukup besar.

Oleh itu, mahu tidak mahu kita perlu meredakan ketegangan yang tidak perlu ini. Pasukan dan kakitangan penjagaan kesihatan kita perlu fokus dan mendapat halatuju, bantuan dan kerjasama yang jelas dari kerajaan.

Ada juga yang berkata, kita perlu bagi kerjasama kepada kerajaan Mahiaddin untuk menjalankan tugasnya. Itu jika kerajaan ini berjaya tetapi kalau sudah gagal, bagaimana orang ramai akan memberikan peluang itu lagi.

Apatah lagi ahli-ahli politik. Mereka akan menggunakan kesempatan untuk menjatuhkan kerajaan PN ini. Lihat apa yang dilakukan oleh Umno baru-baru ini.

Untuk menyelesaikan masalah ini, rasanya tidak salah kita mendengar pandangan tiga ‘orang tua’ kita itu. Berilah apa sahaja nama kepada kerajaan ini, asalkan semua parti politik yang ada wakilnya dalam Parlimen diberikan peranan sewajarnya dalam kerajaan ini.

Bahagilah kepada parti-parti politik ini untuk menjaga portfolio dan kementerian masing-masing yang dikira layak untuk tokoh berkenaan sesuai dengan pengalaman dan kebolehannya.

Misalnya jika Kementerian Pertanian diberikan kepada parti AMANAH untuk menjaganya. Maka AMANAH perlu memutuskan calon terbaik mereka untuk menjaga kementerian ini. Begitu juga kalau Pas dikatakan sesuai untuk menjaga kementerian agama, maka Pas kena carilah tokoh terbaik mereka.

Kepada mana-mana menteri yang sudah berjaya membuktikan kejayaannya menjaga kementerian berkenaan, maka biarlah dia terus menjaganya.

Misalnya biarlah Khairy Jamaludin dari Umno dengan inovasinya tetapi orang seperti Dr Adham Baba, biarlah kita rehatkan dahulu. Take 5, kata budak-budak. Mungkin kita boleh minta Dr Dzulkefly Ahmad untuk menjaga kementerian Kesihatan semula.

Mungkin Dr Zulkifli Albakri tidak berapa sesuai menjadi menteri. Biarlah beliau kembali jadi mufti semula. Kita boleh gantikan beliau dengan Tuan Ibrahim Tuan Man dari Pas kerana dia tidak nampak berapa sesuai dan berjaya ketika menjaga air dan alam sekitar ini.

Pengangkutan kita perlu bagi kepada Anthony Loke semula kerana terbukti beliau berjaya menjalankan tugasnya dengan baik ketika menjadi Menteri Pengangkutan dahulu.

Kepada mana-mana menteri dari Bersatu yang kita anggap berjaya kita boleh kekalkan.

Untuk perdana menteri, kita boleh namakan ia PM Interim sebagaimana yang ramai disebut orang sekarang. Tengku Razaleigh Hamzah dari Umno atau Anwar Ibrahim dari PKR yang memimpin parti yang mempunyai paling banyak kerusi boleh jadi PM Interim sehingga PRU 15 ini. Dua tahun sahaja.

Biarlah mereka menjaga kementerian dan portfolio masing-masing sepanjang dua tahun menjelang pilihan raya umum ke 15 ini. Buktikan bahawa mereka mampu berfikir dengan baik, kreatif dan seterusnya rajin bekerja untuk rakyat.

Jika kita kekal dalam keadaan sekarang, rakyat akan terus menjadi mangsa. Menjadi sifat ahli politik, mereka sentiasa mahukan kuasa. Jadi sudah sampai masanya mereka berkongsi kuasa untuk rakyat negara ini sekarang.

Fastabikul khairat atau berlumba-lumba untuk membuat kebaikan. Setiap kementerian, yang dipimpin oleh parti yang berbeza, akan berlumba untuk menunjukkan kementerian mereka yang terbaik bagi membolehkan rakyat memilih mereka dalam PRU 15 nanti.

Kepada ahli politik saya mohon mencadangkan, kepada Yang Dipertuan Agong, ampun Tuanku, patik mohon diperkenan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan