Kes Covid-19 cecah 5 angka, warganet luahkan rasa bengang

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ketika bilangan kes Covid-19 mencapai angka 11,000 hari ini, pengguna media sosial pantas memberi meluahkan perasaan terhadap berita itu di laman Twitter hari ini.

“WTF 11K” menjadi trending di negara ini apabila pengguna berkongsi meme yang kebanyakannya merungut mengenai lanjutan sekatan penuh selain menyalahkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), khususnya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Mohamed Azmin Ali.

Seorang daripadanya, @millenialrabbit berkata: “WTF 11K??! Saya duduk di rumah sejak hari pertama dan kes masih meningkat hingga 11k?! Apa sudah terjadi?? Apa gunanya duduk di rumah jika bilangan kes meningkat?”

Seorang lagi berkata: “Wow, tahniah Malaysia! Kita akhirnya mencapai 10k! Maksud saya, WTF 11K!

“Saya cuma ingin berkata, ‘lockdown is bulls*it’. Bukan mengurangkan kes, malah menyebabkannya naik secara menggila! #KerajaaanGagal #KerajaanBodoh #KerajaanPembunuh #MalaysiaBoleh.”

Azmin paling banyak menerima kecaman. Kementeriannya bertanggungjawab dalam memberi kelulusan kepada kilang dan perniagaan untuk beroperasi ketika sekatan pergerakan dilaksanakan.

Sementara itu, kluster kilang dan tempat kerja terus meningkat dan menyumbang kepada penularan lebih tinggi dalam kalangan komuniti, terutama di Selangor dan Kuala Lumpur.

Bercakap mengenai isu itu, salah seorang pengguna @_anarafiq mencadangkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dikenakan terhadap semua kilang yang dibuka selama 14 hingga 21 hari.

“Semua pekerja harus kekal dalam kilang. Majikan perlu menyediakan makanan dan tempat tinggal sementara di situ seperti kabin kepada pekerja.

“Disebabkan mereka ingin mencari untung, majikan ini harus mengeluarkan wang sebagai kos yang ditanggung,” katanya.

Menurutnya, salah satu kriteria untuk MITI mengeluarkan surat kelulusan bagi kilang beroperasi pada waktu ini ialah penyediaan tempat tinggal sementara yang sesuai.

“Jika tidak, mereka tidak boleh mendapatkan surat dan tidak dibenarkan beroperasi. Jangan biarkan mereka bercampur dengan orang lain dalam komuniti,” katanya.

Seorang lagi warganet berkata pelaksanaan PKP nampaknya tidak membuahkan hasil dan ternyata ‘sia-sia’.

Kementerian Kesihatan melaporkan rekod kes Covid-19 tertinggi hari ini iaitu 11,079 kes dengan 125 kematian dalam tempoh 24 jam.

Rekod tertinggi sebelum ini ialah sebanyak 9,353 kes pada 10 Julai lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan