Mahfuz Omar disiasat dakwa langgar SOP

FMT Reporters

Gambar tular membabitkan Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar yang didakwa melanggar SOP semalam. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung beberapa keping gambar tular didakwa membabitkan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa satu, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, satu laporan polis berkaitan gambar yang tular di media sosial tersebut dibuat kira-kira pukul 11.36 malam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati terdapat beberapa keping gambar dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook menggunakan nama Nurul Amin Hamid.

“Gambar-gambar itu memaparkan Mahfuz terlibat dalam satu program bantuan dan kelihatan beliau tidak mengamalkan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) semasa program tersebut berlangsung,” katanya menurut laporan Kosmo hari ini.

Sementara itu, Mahfuz yang juga bekas timbalan menteri sumber manusia ketika dihubungi berkata, pihaknya menghormati keputusan polis untuk menyiasat perkara itu dan sedia memberikan kerjasama yang penuh.

“Saya difahamkan polis sudah buka fail dan saya hormati keputusan polis untuk siasat.

“Saya juga bersedia untuk memberi kerjasama sepanjang proses siasatan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan