Mahfuz Omar: Malaysia mungkin ada dua Timbalan PM

FAZLI RADZI

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Seri Mahfuz Omar menjangkakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan melantik seorang lagi Timbalan Menteri.

Naib Presiden AMANAH itu berpendapat Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mungkin akan mengisi jawatan tersebut.

“Apakah Malaysia bakal ada dua TPM. Nampaknya Mahiadin tiada pilihan melainkan kena pujuk Azmin TPM kedua.

“Rakyat nak kehidupan, diberinya 2 TPM yang gagal,” kata bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu menerusi ciapan di Twitter.

Pada 7 Julai lalu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik Timbalan Perdana Menteri.

Naib Presiden Umno itu juga kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Susulan itu, banyak pihak berpendapat Azmin kecewa dengan pelantikan yang diumum sebelum mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu.

Pelbagai bentuk sindiran terhadap Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) berkenaan termasuk dalam suntingan grafik kemudiannya tular di media sosial.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid selepas mempengerusikan mesyuarat MKT parti itu langsung tidak menyebut mengenai kedudukan Menteri dan Timbalan Menteri daripada Umno dalam kerajaan PN.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga tidak menyebut mengenai kedudukan parti pakatan lain, termasuklah gabungan yang dibentuk oleh Umno dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN).

Zahid sebaliknya, berkata kerajaan yang dipimpin Mahiaddin sebagai gagal termasuklah dalam memenuhi aspirasi rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan