Menteri Agama perlu perjelas isu BNM ambil alih Tabung Haji

DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF

Cabaran terbesar kami untuk melaksanakan Penstrukturan Semula TH 2018-2020 ialah mengatasi masalah campur tangan politik dalan urusan dan pentadbiran TH.

Masalah ini turut mendapat perhatian BNM kerana kecurangan dari sudut integriti dan governance dalam TH akan mendedahkan keseluruhan sistem kewangan berisiko menghadapi kesan sistemik jika BNM dilihat gagal mengawasi dan memantau portfolio pelaburan TH. Integriti BNM turut terjejas.

Pengerusi TH semasa BN memerintah dilantik di kalangan ahli politik dan sebahagian besar ahli lembaga pengarahnya dikuasai orang politik.

Malah, keputusan pelaburannya juga adalah dipengaruhi kepentingan politik daripada ianya kepentingan perniagaan yang profesional dan berintegriti.

Sebanyak lima laporan polis dibuat kerana kecurangan yang berlaku. Hingga kini tidak ada apa-apa tindakan pendakwaan dilakukan oleh Pejabat Peguam Negara.

Segala keputusan termasuk pengurusan aset tidak diambil langkah-langkah pengurusan risiko yang berhemah dan tadbir urus telus dan berintegriti.

Walaupun sebelum 2014, Pengerusi TH dari kalangan profesional tetapi keseluruhan mekanisme keputusan berpusat kepada Lembaga Pengarah yang tidak ada kepakaran dalam pengurusan risiko aset dan tidak ada kawal selia perundangan yang memantau keputusan kecuali menteri bertanggungjawab.

Soal integriti dalam pelaburan dan pengurusan aset meletakkan hampir sembilan juta pendeposit dalam bahaya apatah lagi TH adalah di bawah jaminan kerajaan.

Pelan Penstrukturan Semula TH yang dilakukan oleh kerajaan PH 2018 hingga 2020 telah menampakkan hasil dan diberi pengiktirafan sendiri oleh Menteri Kewangan hari ini dan sebagai pelan kelestarian TH (sustainable) untuk terus maju di masa hadapan pengurusan dalam disiplin risiko aset dan governance adalah sangat penting.

Kebimbangan umat Islam hari ini terhadap kenyataan BNM mengambil alih TH perlu diperjelaskan oleh Menteri JPM yang bertanggungjawab.

Umat Islam perlu diyakinkan kelestarian TH untuk terus berkhidmat dengan amanah dan apakah pelan menyerap tanggungan kos operasi dan subsidi Haji yang semakin meningkat khususnya jika ibadat Haji dibuka semula nanti.

Umat Islam perlu dijelaskan juga apakah mekanisme pengawasan dan penyeliaan BNM ke atas TH supaya tidak ada pihak mengambil kesempatan memainkan isu TH dengan nuansa perkauman dan retorik agama yang sempit sebagaimana mereka lakukan kepada usaha pemulihan TH semasa zaman PH memerintah.

Saya ingin mengingatkan pihak yang mengeksploitasikan TH untuk kepentingan politik dan sentimen perkauman supaya melihat pengalaman sebagai pengajaran.

Kecurangan yang dilakukan ke atas TH semasa BN memerintah telah meletakkan risiko secara sistemik kepada pasaran dan institusi kewangan.

Pelan Penstrukturan Semula yang kami lakukan telah mengembalikan kepercayaan dan mengelak risiko kesan sistemik dari berlaku dan TH berjaya diselamatkan.

Jangan politikkan TH tetapi ambillah pengajaran bagaimana kejayaan penstrukturan semula TH dapat diteruskan dengan fasa kelestarian kepada porfolio pelaburan dan pengurusan risiko asetnya.

Saya yakin mandat asal seperti termaktub dalam Akta TH (1995) kekal di bawah Menteri di JPM. Umat Islam hanya perlu mendengar jawapan yang tuntas dengan fakta dan hujah dari Menteri Agama hari ini untuk meyakinkan umat Islam kekeliruan yang berlaku dan politiking yang tidak berkesudahan ke atas TH.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan