Malaysiakini
Bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) seolah-olah "sengaja mencipta kesilapan" dalam mengendalikan pandemik Covid-19 bagi mengelakkan PRU15 dijalankan.
Najib membuat dakwaan itu dalam satu hantaran di Facebook hari ini, yang menjelaskan mengapa Majlis Tertinggi (MT) Umno menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Mengimbau penubuhan kerajaan PN, Najib berkata Umno ketika itu setuju bahawa PRU perlu dilakukan dalam tempoh enam hingga 12 bulan.
"Sebab itu, Muhyiddin berulang kali janji akan adakan PRU sejak tahun lalu, termasuk janji terakhir pada bulan Januari bahawa dia jamin PRU akan diadakan sebaik sahaja selepas darurat berakhir.
"Tapi tak sangka kita bahawa pengendalian Covid-19 oleh kerajaan PN semakin teruk dengan pelbagai kesilapan yang diulang-ulang walaupun jelas ianya adalah kesilapan besar yang menghalang PRU - walaupun sudah diberi kuasa penuh darurat selama tujuh bulan.
"Seolah-olah kesilapan-kesilapan ini disengajakan," katanya.
Oleh sebab itu, katanya lagi, Umno menerik balik sokongan kepada Muhyiddin dan mencadangkan kerajaan sementara ditubuhkan, sebelum PRU diadakan setelah situasi Covid-19 berjaya ditangani.
Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan mesyuarat MT parti yang menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.
Menggariskan apa yang disifatkannya sebagai tujuh kegagalan Muhyiddin dalam memimpin kerajaan, Ahmad Zahid berkata seorang perdana menteri baru perlu dilantik sebelum PRU dapat dilakukan setelah negara mencapai tahap imuniti kelompok.
Pada masa sama, Umno menyerahkan kepada budi bicara ahli Parlimennya sama ada untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin ketika sidang Dewan Rakyat, ataupun sebaliknya.
Semalam, kenyataan bersama yang mendakwa mewakili "semua ahli parlimen BN" mendakwa mereka semua bersetuju untuk menyokong Muhyiddin untuk berkhidmat sebagai perdana menteri dan memastikan kejayaan Pelan Pemulihan Negara.
Bagaimanapun, kenyataan bersama itu tidak mengandungi kepala surat rasmi BN, dan juga tidak mempunyai senarai penandatangan.
Dalam pada itu Najib berkata keputusan MT Umno itu selaras dengan pendirian parti itu sejak awal penubuhan kerajaan PN.
"Bulan Februari (tahun lalu), tuntutan kita tidak mendapat perkenaan Yang di-Petuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
"Sebab itu kita terpaksa menubuh kerajaan sementara dengan Bersatu dengan syarat PRU perlu diadakan dalam tempoh 6 hingga 12 bulan.
"Syarat ini juga dipersetujui dalam mesyuarat Muafakat Nasional dan dipersetujui Bersatu," dakwa Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan