Al-Abror Mohd Yusuf
Hanya beberapa jam saja lagi untuk tempoh "14 hari" yang diberikan Umno kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) memenuhi tuntutan mereka berakhir.
Berdasarkan tarikh surat yang dikeluarkan parti dan ditandatangani Ahmad Zahid Hamidi dua minggu lalu, tempoh hayat amaran itu mencapai tempoh matangnya pada 4 Julai.
Setakat ini, belum nampak PN akan benar-benar mengikut kehendak Umno. Jika ada pun, ia masih kelihatan seperti madah berhelah saja.
Ia berlaku selepas PN sebelum ini dilihat mengelat dalam banyak langkah mereka melayan parti yang tidak menyertai kerajaan tetapi ahli parlimennya menjadi menteri itu.
Pada masa sama memang harus diakui tuntutan dan kata dua Umno kepada PN itu memang sukar dipenuhi. Ia kira-kira sama seperti tuntutan saman malu orang politik kepada seterunya: memang sengaja dipersiapkan untuk tidak boleh dipenuhi.
Dari satu segi, tuntutan Umno itu memang wajar. Mahukan parlimen bersidang ketika satu demi satu langkah diambil kerajaan kian mencolok mata, apa lagi usaha yang dapat dilakukan untuk memaksa mereka menjawab pertanyaan yang timbul.
Sepatutnya yang bertanya itu ialah rakyat, kerana yang benar-benar terkesan serta terhimpit ialah mereka. Tetapi realiti semasa dan sistem demokrasi tidak membolehkan ia berlaku. Maka suara itu terpaksa dilafazkan melalui wakil masing-masing.
Pun begitu tidak ada jaminan yang meyakinkan bahawa suara yang akan dikeluarkan dari tenggorok ahli parlimen berkenaan - jika benarlah akhirnya dewan mulia itu bersidang - adalah benar-benar keluh-kesah rakyat.
Hanya mampu pasrah
Rekod ahli politik memang sudah sedia buruk. Kemelut yang melanda sekarang sekadar melengkapkan jijik dan tengiknya mereka bersilat dalam gelanggang politik. Maka tidak banyak yang dapat diharapkan daripada mereka.
Demi mendapatkan apa yang diingini sangat tidak pelik orang politik menyandarkan kata-kata mereka kepada "rakyat" dan "raja Melayu" agar ia kelihatan sakral.
Tetapi dalam keadaan sekarang - ketika keadaan negara semakin mencemaskan - tidak banyak pilihan yang ada selain berharap agar orang politik terbabit diberikan hidayah daripada Tuhan yang Maha Esa.
Tapi itulah, ghalibnya ia kira-kira sama seperti menunggu burung gagak berwarna putih datang membawa berita gembira, atau mengharapkan hadirnya tikus membaiki labu.
Di sisi yang lain, PN pun tidak boleh berlepas tangan begitu saja. Kebanyakan ahli parlimen yang mencolok mata itu, merekalah.
Dengan keputusan yang ajaibnya, dengan keanehan dasar dan pendekatannya, dengan kitaran perintah kawalan pergerakan yang seperti kipas angin rosaknya, dengan pelantikan jawatan-jawatan dalam kerajaannya - semua itu amat melemaskan.
Itu belum lagi diambil kira kerenah mereka melayan tanda tanya orang ramai yang kadang-kadang sama saja tarafnya dengan loyar buruk saja.
Dan ketika rakyat tidak lagi dapat mengharap kepada kerajaan, ahli politik - sama ada yang ada kuasa atau sedang memburunya - sibuk membuat percaturan. Seperti biasa, nama "rakyat" itulah yang digunakan.
Cepat teruja, cepat lesu
Kemudian datanglah Umno dengan kata dua mereka. Ia terjadi ketika Umno itu sendiri berdepan dengan krisis keyakinan luar dalam. Di dalam, ada sesetengah pemimpin lincah mengatur gerakan sendiri, dan di luar ia menjadi bahan ketawa.
Macam mana tidak diketawakan? Umno pada hari ini ialah Umno yang lucu. Garang dan rangginya tidak disusuli dengan tindakan yang jantan. Seperti orang tua pikun yang menahan gelora dalam dada saja.
Nafsunya besar dan cepat teruja, tapi lebih cepat lesunya.
Perhimpunan agung tahunan yang diadakan baru-baru ini adalah salah satu contohnya.
Dalam keadaan serba terdesak ini, nasib baik ada inisiatif bendera putih. Ia adalah simbolik betapa tidak bergunanya orang politik yang ada untuk kita sekarang.
Ia adalah petanda bahawa hanya orang biasa saja yang faham dan mampu mengubah nasib rakyat biasa.
Apabila kempen bendera putih kemudian cepat dimusuhi, maka lengkap lagi sempurnalah kejahatan yang dilakukan orang politik itu.
Pun begitu, dari sisi positif, inisiatif bendera putih itu adalah harapan baru untuk rakyat. Seperti kata orang bestari, ia merupakan cahaya di hujung terowong. Dan rakyat sekarang - malangnya - berada dalam terowong yang sangat panjang.
Separuh masalah boleh selesai
Ketakutan ketara orang politik kepada bendera putih adalah naluri yang wajib diperkuh oleh semua demi masa depan yang cerah. Sudah amat lama orang politik memaksa rakyat agar takut dan hormat kepada mereka. Kini masa untuk mengubah keadaan.
Biar orang politik yang takut kepada rakyat. Malah, sebenarnya memang begitulah sepatutnya. Mereka - orang politik yang bermati-matian mahukan jawatan dan kedudukan tersebut - adalah hamba kepada orang ramai, bukan sebaliknya.
Biarkan mereka takut sungguh-sungguh. Biar rakyat bebas mengherdik dan memaki jika mereka melakukan kesalahan atau berkelakuan bodoh. Lantaklah siapa pun mereka itu. Herdik dan maki betul-betul.
Rasa hormat datangnya sendiri, lahir dari hati. Bukan boleh dipaksa-paksa.
Apabila ketakutan itu ada, maka mungkin orang politik tidak lagi berebut-rebut mahu menjadi wakil rakyat. Mereka tidak lagi menyondol-nyondol mengikut pemimpin itu dan ini agar dipilih sebagai calon pilihan raya.
Jika keadaan itu dapat dicapai, kemungkinan besar lebih separuh daripada masalah hidup kita pun selesai.
Esok tarikh yang diberikan Umno akan berakhir. Entah apa yang dapat diberikan PN. Entah apa yang mampu dilakukan Umno.
Bulan sudah pernah jatuh ke riba Umno, tapi nampaknya sekarang mereka bagaikan sepah yang dibuang selepas madunya disedut parti yang mereka dakap dulu.
Namun mengharapkan Umno sekarang menjadi jantan tulen adalah ibarat menanti segerombolan kucing bertanduk muncul di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia di tengah Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan