Wanita penghidap Covid-19 rebah, maut di depan klinik

FMT Reporters

Seorang wanita rebah di hadapan klinik selepas mengadu kepada adiknya keletihan dan mengalami kelesuan.

PETALING JAYA: Seorang wanita berusia 45 tahun dipercayai penghidap Covid-19 meninggal dunia di hadapan sebuah poliklinik di Taman Sentosa, Klang, pada jam 10.45 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa yang bekerja sebagai akauntan mengadu keletihan selain lesu, sebelum mangsa dibawa ke pusat perubatan berkenaan oleh adiknya untuk mendapat rawatan susulan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Shamsul Amar Ramli, berkata pada kira-kira jam 9.45 pagi, setibanya mangsa di klinik terbabit, adiknya membawanya keluar dari kereta menuju ke hadapan pintu klinik itu sebelum mangsa tiba-tiba rebah lalu tidak sedarkan diri.

“Bantuan pernafasan (CPR) dilakukan doktor klinik berkenaan gagal dan doktor terbabit memeriksa nadinya, namun tiada denyutan. Pada jam 10.45 pagi, pihak ambulans tiba ke lokasi kejadian dan pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk dijalankan ujian “swab” Covid-19 PCR dan keputusan saringan awal Covid (RTK) mendapati, mangsa positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pemeriksaan terhadap badan mangsa tidak menjumpai sebarang kecederaan atau unsur jenayah.

“Mangsa sebelum ini mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi sejak dua tahun lalu serta mendapat rawatan bulanan di Klinik Kesihatan Kelana Jaya (Selangor),” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan