Apakah Ahli Parlimen yang menyokong Mahiaddin akan di singkir dari Umno

MP UMNO YANG MASIH PERTAHAN MAHIADDIN TAK LAYAK LAGI KEKAL DALAM UMNO

Shahbudin Husin

Berikutan MT UMNO semalam membuat ketetapan menarik sokongan terhadap kerajaan PN, dengan kumpulan pertama antara 12 hingga 14 Ahli Parlimennya telah pun menyerahkan surat akuan kepada Yang Dipertuan Agong bagi memaklumkan hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri, tindakan tersebut seharusnya diterima baik dan disokong oleh semua pemimpin, khusus yang bergelar Ahli Parlimen.

Hakikatnya, itulah sebenarnya kehendak dan keinginan sebagaimana yang dimuktamadkan dalam PAU2020 pada Mac lalu.

Sepatutnya, sebagai tanda akur kepada keputusan MT UMNO yang merupakan badan tertinggi parti dalam memutuskan sesuatu perkara, semua Ahli Parlimen yang berada dalam kerajaan akan segera melepaskan jawatan masing-masing mereka.

Namun demikian, amatlah malang bila mana sehingga ini hanya seorang saja Ahli MT dan Ahli Parlimen UMNO, Shamsul Anuar Nasarah yang sedia meletak jawatan sebagai menteri.

Tiada menteri lain, timbalan menteri dan pengerusi GLC yang sedia menuruti jejak langkah terpuji Shamsul Anuar.

Mereka nampaknya masih buat tak tahu, berdiam diri dan atau mungkin enggan akur dengan ketetapan parti.

Lebih malang lagi, ada pula yang terus menunjukkan kedegilan dengan ingin mempertahankan lagi kedudukan Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri yang tiada majoriti itu.

Selain ada yang masih pergi ke rumah Mahiaddin menyatakan sokongan, yang lain pula sanggup mengadakan perjumpaan tertutup di sebuah hotel di ibu kota bagi maksud yang sama.

Pelik sungguh perangai mereka itu, Mahiddin yang gagal, menimbulkan banyak masalah kepada negara, tiada majoriti, bukan merupakan pemimpin UMNO dan derhaka berkali-kali kepada Agong, tapi masih ingin dipertahankan lagi?

Tidakkah mereka sedar, sikap mereka sekarang bukan saja menunjukkan ketidaksetiaan kepada parti sendiri, bahkan memperlihatkan ingin lebih derhaka kepada Raja?

Kepada siapakah kesetiaan mereka sebenarnya – kepada parti sendiri atau kepada Presiden Bersatu yang telah diputuskan oleh UMNO sendiri untuk tiada lagi sebarang hubungan atau kerjasama. dalam PRU15 akan datang?

Juga, apakah matlamat perjuangan mereka itu – gila untuk mengekalkan keseronokan mmemegang jawatan dalam kerajaan atau ingin memperjuangan masa depan UMNO?

Realitinya, itulah wajah sebenar sebahagian pemimpin UMNO, dalam selalu berapi mulut berteriak konon sayangkan parti dan berjuang untuk rakyat, yang benar-benar mereka pelahap melebihi segala-galanya tidak lain adalah jawatan serta kedudukan dalam kerajaan semata-mata.

Baru diuji dengan kalah PRU14 lalu, kemudian berpeluang menumpang jadi kerajaan dan kini dalam persimpangan untuk membuat pilihan, habis tembelang perjuangan dan wajah keutamaan mereka terdedah menjadi tontotan kita semua.

Agaknya bagaimanakah keadaan mereka jika berhadapan dengan dajal dengan tawaran dunianya jauh lebih menggiurkan dan mempersona?

Yang penting di sini, inilah masanya untuk ahli dan akar umbi UMNO seluruh negara menilai sendiri watak pemimpin mereka yang bergelar Ahli Parlimen itu.

Paling mudah untuk disimpulkan, mereka yang enggan akur ketetapan parti, berdiam diri atau masih lagi menyokong Mahiaddin, itulah kelompok paling tak guna dalam UMNO.

Keutamaan dan matlamat mereka bukanlah masa depan UMNO, tetapi semata-mata kepentingan nafsu dan poket sendiri.

Ahli dan akar umbi harus tekad dan sepakat menolak mereka daripada terus jadi pemimpin dalam UMNO, jauh sekali untuk dikekalkan lagi sebagai calon pilihanraya selepas ini.

Mereka yang ingin mengekalkan lagi Mahiaddin setelah MT membuat ketetapan menolaknya, adalah pemuka-pemuka yang tidak layak lagi berada dan menjadi pemimpin dalam UMNO.

Bersatu yang berhimpun di dalamnya segala jenis pengkhianat daripada pelbagai parti barangkali amat secocok sebagai wadah baru untuk mereka meneruskan sandiwara dan perjuangan yang selama ini hanyalah pura-pura. (ShahbudinHusin 04/08/2021)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan