Bosan cara politik lama: Anak muda cetuskan gerakan 'Pangkah Burung'

Pemuda cetus gerakan ubah ‘politik seperti biasa’

Sean Augustin

Menerusi gerakan ‘Pangkah Burung’, Syed Nabil mahu mencipta ‘gangguan’ dalam situasi politik negara.

PETALING JAYA: Suatu ketika pada Julai, perbualan Syed Nabil, 29, dengan rakan-rakannya dalam talian yang pada mulanya santai menjurus ke arah topik politik.

Interaksi mereka dengan orang lain dan reaksi mereka terhadap berita yang mereka baca mencapai kesimpulan bahawa Parlimen sangat agnostik mengenai parti politik, dan Ahli Parlimen boleh membentuk pakatan baharu mengikut kehendak mereka.

Mereka juga bersetuju bahawa ahli-ahli politik tidak mendengar suara pengundi, tetapi mematuhi “tuan” politik mereka, satu situasi yang membuat Syed Nabil berfikir, demokrasi tidak boleh berfungsi sedemikian.

Kedua-dua faktor ini, selain keluhan yang didengarnya mengenai keadaan negara daripada pengunjung premis makanannya, menyedarkan Syed Nabil.

“Ini mendorong saya untuk berbuat sesuatu kerana jelas sekali, saya juga rasa benda yang sama,” kata pemuda dari Nilai itu.

Imej grafik mengenai ‘Pangkah Burung’ yang dikongsi Syed Nabil di media sosial.

“Selama lebih enam dekad, demokrasi tidak diamalkan dengan betul disebabkan ‘kebisingan’ dan gangguan oleh parti-parti politik.”

Ini mencetuskan gerakan “Pangkah Burung” yang bermatlamat untuk mencipta “gangguan” terhadap politik negara dan membetulkan haluan demokrasi dengan menggesa lebih ramai calon bebas bertanding pada pilihan raya umum (PRU).

Syed Nabil percaya sikap rakyat yang mudah berpuas hati menyebabkan standard politik merosot. Namun rakyat perlu terlibat secara tidak langsung dalam dasar yang dirangka dan kemudian dilaksanakan, fikirnya.

Untuk mencapai tujuan ini, rakyat harus mengundi lebih ramai calon bebas, terutamanya yang mempunyai integriti.

Seorang Ahli Parlimen bebas dengan mudah dapat diganti pada PRU berikutnya jika mereka tidak menjalankan tugas dengan baik, berbanding mereka yang terikat dengan parti, yang boleh sahaja melompat ke parti lain untuk menyelamatkan diri.

“‘Tuan’ politik Ahli Parlimen bebas adalah pengundi sendiri. Mereka tidak terikat dengan arahan mana-mana parti,” kata Syed Nabil.

Beliau berharap para pengundi dapat menerima sifat gerakan ini yang tidak memihak kepada sesiapa, selain bermatlamat untuk mewujudkan lebih kesedaran mengenai landskap politik negara dan kelemahan sistem semasa.

Pada masa ini, Syed Nabil dan sekumpulan kecil rakannya menyebarkan video dan grafik mengenai gerakan ini di media sosial.

Katanya, ini bertujuan untuk mendorong undi-undi yang bersifat “menganggu” terhadap politik “seperti biasa”.

Sasaran mereka bukan PRU yang bakal diadakan, namun PRU di masa depan.

“Kita hanya akan dapat lihat perubahan kepada landskap politik kita 20 tahun dari sekarang,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan