Hamzah TPM, Azmin kekal di MITI, kata khabar angin di Putrajaya

MALAYSIA DATELINE

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin disebut-sebut akan mengangkat sumpah sebagai timbalan perdana menteri di samping Menteri Dalam Negeri dalam kabinet baharu pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub.

Saingan beliau, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula dijangka akan mengekalkan jawatannya di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub dijangka akan mengambil alih jawatan Menteri Kewangan sebagaimana yang dibuat oleh bekas PM dari Umno, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad dijangka akan mengambil alih jawatan Menteri Kesihatan dari Datuk Seri Dr Adham Baba sebelum ini.

Dalam PRU-14 lalu, Dr Abdul Latif menang sebagai calon BN namun melompat ke Bersatu selepas itu. Dalam Kabinet Tan Sri Mahiaddin, beliau adalah Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Khabar angin tentang perkara ini kini bertiup kencang di Putrajaya dengan cerita bahawa senarai kabinet baharu ini telah dihantar kepada Yang Dipertuan Agong pagi tadi.

Menurut sumber itu, seorang lagi pemimpin Umno, Datuk Seri Mahathir Khalid dijangka akan dilantik sebagai Menteri Pertahanan bagi menggantikan Datuk Seri Hishammuddin Husein.

Tan Sri Annuar Musa pula dikatakan akan naik pangkat dari Kementerian Wilayah Persekutuan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, sebuah kementerian yang bakal mengawal komunikasi untuk kerajaan.

Tempat beliau dikatakan akan diisi oleh ahli parlimen Umno dari Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Sementara itu, menteri dari MCA dan MIC dijangka akan kekal dengan jawatan masing-masing termasuk Datuk Seri Zuraidah Kamaruddin.

Sehingga kini, belum ada lagi maklumat atau khabar angin tentang bakal menteri kabinet dari Pas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan