Kepandaian yang tidak berguna dan tidak boleh diguna

MOHAMED HANIPA MAIDIN

Dalam sistem perundangan jenayah undang-undang manusia (man-made law), lazimnya, bagi kesalahan jenayah seksual, para hakim akan kenakan hukuman yang lebih berat jika pesalah tersebut mempunyai hubungan kekeluargaan atau persaudaraan dengan mangsa mereka.

Sebab itu, misalnya, jika seorang bapa disabitkan merogol anak, atau seorang datuk disabitkan merogol cucu, hakim akan jatuhkan hukuman, yang secara relatif, lebih berat.

Sebenarnya, tidak begitu susah untuk kita merasionalisasi perkara itu. Mereka yang lazimnya berada di posisi yang sebegitu, sudah tentu diandaikan atau diharapkan sewajarnya menjadi pelindung dan bukannya pemangsa kepada mangsa!

Dalam terma undang-undang (legal term), para pengamal undang-undang mengkategorikan mereka itu “in a position of trust!”

Dalam pepatah melayu, mereka yang sebegitu pula disebut “mengharapkan pegar, pegar pula yang memakan padi”.

Hakikatnya, dalam sistem perundangan jenayah Islam, falsafah hukuman yang hampir sama juga terpakai.

Dalam sistem perundangan jenayah Islam misalnya, hukuman ke atas penzina yang sudah berkahwin (dipanggil muhson) dan yang belum berkahwin (ghayru muhson) adalah berbeza.

Bagi penzina yang sudah berkahwin, hukumannya, secara nisbi, agak begitu berat iaitu hukuman mandatori rejam hingga mati.

Sedangkan bagi penzina yang belum berkahwin hukumannya meskipun bersifat mandatori, tetapi ia hanya sekadar sebatan 100 rotan.

Saya tidak bercadang untuk berbahas di sini isu tersebut secara terperinci sebab topik utama perbincangan saya bukan berkaitan isu ini.

Maududi رحمه الله di dalam tafsirnya ” Tafheemul Quran ” memberikan sebuah analogi yang agak menarik, pada hemat saya, tentang perbezaan hukuman penzina yang sudah berkahwin dan yang belum berkahwin.

Hukuman berat yang dikenakan ke atas pesalah yang sudah berkahwin diibaratkan seperti seorang yang kaya raya yang menaiki keretapi tetapi dengan cara menipu iaitu tanpa memiliki tiket yang sah. Sudah tentu hukuman ke atas orang kaya itu logiknya, harus lebih berat berbanding dengan orang miskin yang juga menipu iaitu dengan menaiki keretapi tanpa memiliki tiket yang sah.

Dalam konteks politik negara ini, mereka yang dikatakan golongan bijak pandai-tak kira dari sudut apa sekalipun-tiba-tiba masih boleh terlibat dalam proses PENGKHIANATAN proses DEMOKRASI atau proses PENGKHIANATAN MANDAT rakyat, hakikatnya, jauh lebih teruk dan lebih hina dari mereka yang mungkin tidak boleh dikategorikan atau tidak diharapkan berada dalam kategori cerdik pandai seperti mereka.

Jika golongan yang dikatakan cerdik pandai itu juga melakukan kesalahan pengkhianatan proses demokrasi dan mandat rakyat, sama sahaja seperti golongan yang dikira berada di kategori yang kualitinya jauh lebih rendah dari mereka itu, bagaimanakah kita boleh mengharapkan akan berlakunya perubahan budaya politik ke arah yang lebih baik di negara ini ?

Jika pada 9/5/2018, seluruh dunia memuji negara ini kerana kejayaan proses demokrasinya, kini dunia yang sama pula sedang mentertawakan kita tatkala sedang menonton ” live telecast” bagaimana proses demokrasi dirobek oleh tangan-tangan yang rakus.

Mereka yang bertarung di atas pentas demokrasi tetapi tidak mahu pula menerima ” the verdict of democracy”, hakikatnya adalah pemangsa dan parasit kepada sistem itu. Bagi saya, mereka adalah musuh demokrasi sebenar!

Adakah mereka sedar, demokrasi itu, secara substansinya, adalah SUARA RAKYAT.

Mereka yang tidak mahu menghormati suara dan “verdict” RAKYAT adalah ancaman besar kepada “the sustainability of democracy” .

Ironinya mereka kini sedang bercakap kononnya ingin membantu rakyat! What a Joke!

Golongan cerdik pandai itu – yang Allah Swt kurniakan mereka sedikit nikmat ilmu pengetahuan dan pengalaman yang lebih baik- sudah tentu diharap boleh membantu memperbaiki kerosakan budaya politik yang tidak baik di kalangan masyarakat kerana ilmu dan pengalaman mereka itu. Malangnya, ia tidak berlaku sebegitu! Mereka juga turut berpartisipasi dengan secara rakus merobek nilai -nilai demokrasi.

Jika mereka juga, menggunakan bahasa rakyat, pun 2×5, saya tertanya tanya, masih wajar dan munasabahkah kita mengharapkan mereka untuk membuat kebaikan atau perubahan?

Jika manusia itu tidak berupaya melawan godaan hawa nafsu serakahnya, dalam terminologi dan paradigma agama, hakikatnya mereka itu adalah golongan yang jahil walaupun ramai yang mungkin beranggapan sebaliknya.

Sudah tentu, bagi saya, penilaian agama yang bersumber wahyu lebih kukuh dan tepat.

Adakah mereka juga boleh terlepas dari paradigma pepatah melayu ” harapkan pagar, pagar makan padi” ?

والله اعلم

Tiada ulasan:

Catat Ulasan