Menteri Belia dan Sukan mengaku yang dia kurang cerdik

'Kurang cerdiknya saya buat kenyataan itu' - Ahmad Faizal mohon maaf isu Liga Super

Bernama

Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia di atas kenyataannya dalam satu video yang tular semalam untuk menambahkan pasukan bertanding di Liga Super pada musim depan.

Ahmad Faizal yang memulakan tugasnya secara rasmi hari ini, turut memohon maaf kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Hamidin Mohd Amin dan Setiausaha Agungnya Stuart Ramalingam kerana menyebut nama mereka dalam video itu, yang mencetuskan kekecohan di media sosial semalam.

"Ia merupakan satu kekhilafan atau sesuatu yang kurang cerdiknya saya mengeluarkan kenyataan itu...Jadi saya nak mohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia juga di atas kesilapan itu. Alhamdulillah saya belajar daripada kesilapan itu, yang dilakukan sebelum saya masuk pejabat.

"Hari ini hadir sebagai menteri, saya perlu tahu apa yang patut dan tak patut katakan. Insya-Allah lepas ini, saya berjanji dengan semua rakyat Malaysia dan peminat sukan, akan bekerja kuat dengan timbalan menteri, Ti Lian Ker dan rakan-rakan di kementerian untuk meningkatkan mutu sukan, bukannya berpolitik dan bercakap perkara yang tak mendatangkan faedah, " katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian pada sidang media selepas dia dan Ti melapor diri bertugas secara rasmi di Menara Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya, hari ini.

Semalam, tular satu video di mana Ahmad Faizal dilihat berkata Perak FC yang berdepan risiko penyingkiran dari Liga Super musim ini, berpeluang kekal untuk musim depan jika jumlah pasukan bertanding ditambah kepada 16 berbanding 12 pasukan.

Bagaimanapun, Stuart yang bakal memulakan tugas selaku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menafikan bahawa pernah berbincang mengenai perkara itu, manakala Presiden MFL Ab Ghani Hassan berkata format kenaikan dan penyingkiran Liga Malaysia kekal seperti sedia ada.

FAM boleh digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sekiranya wujud campur tangan kerajaan dalam pentadbirannya.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berjanji dia akan bekerjasama dengan semua pihak untuk meningkatkan mutu bola sepak negara, termasuk mengukuhkan peringat akar umbi.

-Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan