FMT Reporters
PETALING JAYA: Muhyiddin Yassin, yang baru sahaja meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, mungkin menjadi menteri pembimbing jika Ismail Sabri Yaakob dilantik memegang jawatan tertinggi negara itu, menurut desas desus dalam kalangan lingkungan politik.
Dan kini nampaknya, Ismail memiliki angka sokongan mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri interim.
Ini susulan laporan bahawa semua 42 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebulat suara bersetuju menyokong Naib Presiden Umno itu memegang jawatan berkenaan, walaupun segelintirnya sebelum ini berkata, mereka tidak akan memberi sokongan.
Bersatu dan PAS juga berkata, mereka akan menyokong Ismail.
Tambahan, pemimpin Gabungan Parti Sarawak Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu FMT pagi ini, gabungan berkenaan turut bersetuju secara prinsip untuk menyokong Ismail.
Dengan ini, Ismail, yang berkhidmat sebagai timbalan Muhyiddin selama lebih sebulan, berkemungkinan mendapat sokongan yang cukup daripada Ahli Parlimen dalam usaha untuk dinamakan sebagai Perdana Menteri interim.
Khabar angin kuat mengatakan, jika Ismail menjadi Perdana Menteri, Muhyiddin, yang kini Perdana Menteri sementara (caretaker), akan dimasukkan ke dalam Jemaah Menteri sebagai menteri pembimbing.
Kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan kepada Utusan Malaysia menjadi petunjuk sesuatu sedang diusahakan.
Beliau dilaporkan berkata, Muhyiddin dijangka memaklumkan “berita baik” pagi ini.
Namun, masih perlu dilihat sama ada langkah seperti itu akan diterima akar umbi Umno.
Sementara itu, halaman Facebook Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dan Ketua Penerangan Shahril Hamdan dibanjiri komen yang mengkritik keputusan menyokong Ismail setelah diumumkan BN akan mencalonkannya sebagai Perdana Menteri interim.
Pengguna Facebook Shahril Thulus mempersoalkan mengapa Umno menarik balik sokongannya kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) jika ingin menyokong Ismail, kerana beliau telah menjadi timbalan Muhyiddin.
Seorang lagi warganet, Khairul Affendy Salleh, berkata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Kerja Tertinggi parti itu telah diakali Ismail, yang disifatkannya sebagai “proksi” Muhyiddin.
“Ismail ni kan proksi Muhyiddin, itu sebab naik jadi TPM. Tak lama lagi, bungkuslah Zahid dan Najib. Tengoklah nanti,” katanya.
Komen-komen di halaman pro-Umno yang lain lebih keras, menggambarkannya sebagai “PN 2.0” dan hanya sebagai “perubahan pemimpin”.
Nor Fazila Mohamed berkata, kepimpinan Umno tidak menghiraukan “keluhan akar umbi” dengan mencalonkan seorang menteri yang gagal melaksanakan tugasnya dalam portfolio, walaupun kedudukannya lebih kanan dalam kerajaan PN.
“Tunggu Umno bungkus ikat mati (pada) PRU15,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan