PH tolak 7 tawaran Muhyiddin, yakin boleh beri lebih baik kepada rakyat

Astro Awani

KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Haraoan (PH) yakin mereka mampu mengemukakan suatu perancangan yang lebih baik untuk menangani pandemik COVID-19, menghidupkan semula ekonomi dan menyelamatkan rakyat.

Justeru, Majlis Presiden PH menolak tawaran yang diberikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membolehkan usul undi percaya diluluskan di Parlimen.

Dalam satu kenyataan yang ditandatangi ketiga-tiga ketua parti komponen PH itu juga mendakwa tawaran Muhyiddin sebagai tidak ikhlas dan sepatutnya dibuat lebih awal.

"Pakatan Harapan mengambil pendirian untuk menolak keras segala tawaran tidak ikhlas Tan Sri Mahiaddin yang sepatutnya dibuat lebih awal dan bukannya di penghujung hayat politik beliau.

"Tumpuan seharusnya diberi untuk menyelamatkan rakyat dan bukan kerjaya politik beliau.

"Sebaliknya, Pakatan Harapan memilih untuk bersolidariti dengan rakyat yang sedang menderita akibat pandemik COVID-19.

"Kami berkeyakinan bahawa kami mampu mengemukakan suatu perancangan yang lebih baik, terutama untuk menangani pandemik COVID-19, menghidupkan semula ekonomi, serta menyelamatkan rakyat dan mata pencarian," kata kenyataan tersebut.

PH juga mendakwa pengumuman khas Muhyiddin pada Jumaat itu merupakan pengakuan terbuka seorang perdana menteri yang telah kehilangan majoriti.

Gabungan tiga parti itu juga menegaskan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan perlu dilaksanakan dengan cara perdana menteri perlu meletak jawatan.

"Ini kali pertama dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri yang mengaku kehilangan sokongan majoriti namun secara terang-terangan terus menagih sokongan Pembangkang.

"Ini juga kali pertama seorang Perdana Menteri yang tiada keabsahan menawarkan rasuah secara terang-terangan dalam siaran televisyen langsung di hadapan seluruh rakyat Malaysia," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan