Ketum: Prof Zurina Hassan menang anugerah penyelidikan antarabangsa

Kajian ketum pakar USM menang anugerah penyelidikan antarabangsa

Amir Talmizi

story-image

Penyelidik dari Pusat Penyelidikan Dadah Universiti Sains Malaysia, Prof Zurina Hassan menerima anugerah penyelidikan antarabangsa pada 4 Ogos lalu.

Penyelidik berasal dari Pulau Pinang itu menerima anugerah penyelidikan Georg Forster daripada Yayasan Alexender Von Humbolt Jerman di atas kajiannya berkenaan ketum.

Seorang profesor dalam bidang farmakologi, Zurina serta pemenang lain diberikan dana berjumlah 60,000 euro (RM294,679) untuk menyambung penyelidikannya di negara itu.

"Untuk program ini, saya diberi tempoh enam hingga 12 bulan untuk selesaikan kajian dengan dana sebanyak 60,000 euro disediakan.

"Saya bercadang untuk pergi ke Universiti Erlangen, Jerman bagi memulakan kajian saya pada Januari tahun depan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Zurinah, 45, berkata penyelidikannya melihat bagaimana ketum dapat memberi kesan kepada ingatan manusia dan menyebabkan ketagihan.

"Saya nak lihat macam mana ketum akan 'bekerja' apabila masuk ke badan manusia, contohnya berapa dos yang boleh menyebabkan ketagihan dan berapa dos yang beri kesan kepada memori manusia," katanya yang telah membuat penyelidikan berkenaan ketum sejak 2010.

Selain itu, dia juga berhasrat untuk membawa hasil penyelidikannya berkenaan bunga telang dan potensinya untuk merawat penyakit dementia dan alzheimer untuk dibincangkan di Jerman.

"Saya gunakan bunga telang yang biasa kita buat nasi kerabu itu untuk memulihkan ingatan terutamanya orang-orang tua yang selalu lupa.

"Kalau boleh saya nak bawa pergi sana untuk bertanya dan berbincang dengan mereka berkenaan cara untuk komersialkannya.

"Saya bercadang untuk jadikannya dalam bentuk kapsul dan boleh dijual di pasaran," katanya lagi.

Zarina merupakan penasihat pakar sementara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2015 dan 2016.

Dia juga pernah dijemput oleh Institut Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (Nida) untuk membentangkan kajian berkenaan ketum di San Diego, Amerika Syarikat.

Kongsi kepakaran dengan Jerman

Mengulas tentang pemilihannya, Zurina, 45, berkata ia bukanlah perkara mudah kerana dia perlu bersaing dengan lebih dua ribu penyertaan dari seluruh dunia dan hanya sepuluh penyelidik yang akan terpilih.

"Cabaran memang berat kerana kebanyakan mereka yang terpilih adalah profesor yang sangat berkaliber," katanya.

Katanya lagi, pihak Jerman menganjurkan program tersebut untuk menggalakkan penyelidik dari luar - terutama di negara membangun - menyumbang kepakaran masing-masing kepada institusi penyelidikan di sana.

"Anugerah ini berdasarkan pencapaian kita dalam penyelidikan yang dibuat sebelum ini.

"Tujuannya adalah untuk kita kongsikan kepakaran kita di sana, jadi ia akan banyak memberi faedah kepada mereka.

"Setelah tamat program ini, mereka akan minta kita kongsikan pengalaman tinggal di sana, buat penyelidikan di sana dan juga kebudayaan masyarakat Jerman," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan