Kit Siang dedah 'rahsia' gembira Khairy dilantik menteri kesihatan

 Malaysiakini 

Pemimpin DAP Lim Kit Siang secara terbuka hari ini mengakui pelantikan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan adalah satu-satunya berita baik dalam peristiwa pembentukan kabinet Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mengucapkan tahniah kepada Khairy yang berjaya menurunkan kes harian Covid-19 di bawah 14,000 semalam.

"Biar saya berlaku jujur satu-satunya berita baik dalam peristiwa pembentukan kabinet Ismail Sabri adalah pelantikan Khairy Jamaluddin sebagai menteri kesihatan.

"Semua rakyat Malaysia mahu dan mengharapkan Khairy berjaya dalam mengemudi perang melawan Covid-19 yang mengancam negara, dan saya tidak segan untuk mengakui bahawa saya adalah seorang daripadanya.

"Saya akan terus melontarkan pandangan dan kritikan terhadap Khairy dalam usahanya untuk memerangi Covid-19, bukan kerana saya mahu beliau tersungkur gagal tetapi sebaliknya untuk melihat beliau berjaya," katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod Khairy pernah memegang jawatan sebagai menteri belia dan sukan ketika era kerajaan BN pimpinan Najib Razak.

Manakala ketika era kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin dia memegang jawatan sebagai menteri sains teknologi dan inovasi.

Dia kemudiannya dilantik sebagai menteri kesihatan oleh Ismail Sabri bagi menggantikan Dr Adham Baba yang bertukar portfolio dengan Khairy.

Dalam pada itu Lim berkata sekarang adalah masa yang terbaik untuk Khairy membuktikan keupayaan dalam memimpin kementerian kesihatan.

"Sejak beberapa hari lalu, saya telah berkali-kali menggesa Khairy untuk menjelaskan kedudukan sebenar berhubung kes kematian berkaitan Covid-19, terutama berhubung masalah tunggakan (backlog).

"Pengurusan mayat di hospital kerajaan yang mana masih belum dianalisis dan dilakukan bedah siasat, kerana isu ini diselubungi misteri dan memberi kesan terhadap kredibiliti kerajaan dan Khairy sendiri dalam mempersembahkan data berkaitan Covid-19.

"Ini adalah masa terbaik untuk Khairy berterus terang tentang situasi sebenar berhubung kematian akibat Covid-19 sejak zaman menteri kesihatan sebelum ini," kata Lim lagi.

Selain itu katanya, Khairy juga harus menjelaskan mengapa laman web baru, CovidNow, hanya dikemaskini selepas jam 6 pagi hari ini ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan