‘Muhyiddin diberi peluang kecewakan rakyat lagi’, kata warganet

FMT Reporters

PETALING JAYA: Warganet memberi pelbagai reaksi terhadap pelantikan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri.

Segelintir pengguna media sosial memberikan maklum balas bahawa perlantikan itu sebagai petanda Muhyiddin kembali dalam urusan kerajaan.

Malah, ada yang beranggapan ia seolah-olah memberi bayangan negara akan kembali gagal susulan beliau disifatkan sebagai pemimpin yang tidak berjaya mengawal situasi pandemik Covid-19.

Pengguna Twitter, @ooijohn menyifatkan Muhyiddin telah menggagalkan negara namun diberi satu lagi peluang untuk mengecewakan rakyat sekali lagi.

“Kami tidak dapat melalui mimpi buruk yang sama,” katanya.

Seorang lagi pengguna @sabrectw pula menganggap pelantikan itu satu penyalahgunaan kuasa yang tidak masuk akal. 

“Menteri lain? Ini adalah penyalahgunaan kuasa yang tidak masuk akal,” katanya di Twitter.

Sementara itu, pengguna Twitter bernama Syamim Ms pula mempersoalkan mengapa Muhyiddin diminta meletak jawatan sebagai perdana menteri jika masih ada keyakinan bahawa beliau mampu meneraju strategi pemulihan negara.

“Kalau yakin dia boleh terajui strategi pemulihan negara, kenapa turunkan dia daripada jawatan perdana menteri.”

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengumumkan Muhyiddin dilantik pengerusi MPN bertaraf menteri.

MPN ditubuhkan Julai lalu bagi memastikan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan lancar dan mengukuhkan lagi strategi kawalan wabak Covid-19.

Ia dianggotai wakil sektor swasta, pakar industri, dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk berkongsi pengalaman serta nasihat dalam pelbagai aspek PPN bagi membolehkan Malaysia keluar daripada pandemik secara sistematik dan selamat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan