SITI NUR ZAWANI MISCON
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari tidak bersetuju sekiranya darurat diisytihar di negeri itu.
Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, pengisytiharan darurat bakal memberi gambaran negatif terhadap pembangunan ekonomi negeri yang baharu sahaja dalam fasa pemulihan.
“Bagi saya mengheret Melaka kepada darurat adalah cukup buruk dan memberi persepsi negatif sebab kita dalam proses (pemulihan) dari satu fasa ke satu fasa.
“Kita tak boleh burukkan ekonomi kita. (Tak boleh) beri gambaran ekonomi buruk terutama di Melaka ketika kita baru nak buka pintu pelancongan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Naib Presiden AMANAH itu juga menyatakan rasa kesal kerana sepatutnya pihak yang sudah hilang majoriti, perlu mengikut proses peletakan jawatan yang betul, dan bukannya menasihati Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tegasnya lagi, pihak yang tidak lagi mempunyai majoriti tidak sepatutnya memberi pandangan yang akhirnya menyebabkan kemudaratan kepada negeri itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan