N Faizal Ghazali
Perbuatan keji seorang pengamal perubatan tradisional menjadikan pesakit wanita sebagai 'mangsa seksual' akhirnya kantoi selepas kejadian malang dipercayai menimpa seorang wanita yang juga bakal pengantin baru.
Hasrat mangsa berusia 23 tahun untuk mendapatkan rawatan gangguan makhluk halus bertukar tragedi apabila dirogol suspek yang dikenali sebagai Ayah Su, 67.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Nasaruddin Md Nasir berkata, dalam pada 14 Oktober lalu itu mangsa bersama ibu dan bakal suaminya pergi ke rumah suspek di Tendong, Pasir Mas, kira-kira jam 3 petang.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian mangsa di bawa ke bilik rawatan oleh isteri suspek dikenali sebagai Mak Su dan suspek hanya berdua bersama ketika kejadian tersebut.
"Semasa berada dalam bilik rawatan suspek meminta mangsa menanggalkan seluar dan ketika proses lawatan dimulakan suspek menggosok paha serta kemaluan mangsa.
"Suspek juga telah bertindak merogol mangsa. Apabila selesai rawatan suspek memberi amaran supaya tidak menceritakan kejadian kepada sesiapa dan meminta mangsa datang sekali lagi bagi rawatan susulan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas, Kelantan, hari ini.
Tambahnya, susulan laporan dibuat mangsa pihak polis berjaya menahan suspek pada hari yang sama.
Katanya, suspek merupakan seorang pesara pemandu di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang menjalankan aktiviti rawatan tradisional sejak tahun 1985.
"Suspek kini direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 22 Oktober depan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
"Hasil siasatan awal mendapati modus operandi suspek menjadikan pesakit wanita sebagai mangsa melempias nafsu dan kita percaya kejadian ini bukan pertama kali berlaku tetapi tidak dilaporkan kepada pihak polis," katanya lagi.
Nasaruddin juga menyeru mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa perbuatan suspek turut tampil membuat laporan polis.
"Orang ramai juga dinasihati agar berhati-hati ketika menjalani sebarang rawatan dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku perkara yang membabitkan kejadian jenayah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan