Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Penduduk di empat kampung dalam mukim Kubang Kerian di sini bingung dengan kehilangan wang yang kerap berlaku sejak setahun lalu.
Kejadian difahamkan sudah berlaku lebih 10 tahun lalu tapi tidak secara berterusan.
Penduduk Kampung Parit Raja, Pulong, Chicha dan Kenali kerap kehilangan wang malah ada berjumlah ribuan ringgit lesap secara misteri.
Ada penduduk yang mengaitkan misteri itu dengan toyol berikutan tiada kesan pecah rumah dan wang boleh hilang walaupun disimpan di tempat tersembunyi.
Kejadian terbaru dialami kakitangan kerajaan, Sudarwaty Abdul Rajab, 42, pada petang Jumaat lalu apabila kehilangan RM500 yang disimpan di dalam beg tangannya.
"Petang Khamis lalu saya mengambil wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebanyak RM1,000 sebelum pulang ke kampung di Terengganu untuk berjumpa ibu bapa.
"Keesokan harinya apabila ingin menghulurkan wang kepada ibu bapa, saya terkejut kerana mendapati RM500 yang ingin diberikan itu hilang namun enggan bising kerana ini bukan kali pertama berlaku," katanya.
Sudarwaty yang menetap di Kampung Pulong berkata, kejadian seumpama itu sudah setahun dialami namun tidak diceritakan kepada sesiapa selain sanak saudara namun beberapa hari lalu apabila mengetahui kejadian sama menimpa ramai individu lain menerusi satu kumpulan Whatsapp, dia agak terkejut.
Katanya, pelbagai ikhtiar sudah dibuat selain solat hajat termasuk melakukan beberapa tips yang diketahui iaitu jangan membiarkan wang kertas berkeadaan elok sebaliknya lipat atau biarkan ronyok dan apabila dipraktikkan, langkah itu dilihat menjadi.
"Bagaimanapun apabila terlupa membuat tips itu, memang duit akan hilang termasuk wang tabung anak dan walaupun 'benda itu' tidak mengambil semua wang tapi apa yang kami perhatikan, dia hanya ambil not RM20 ke atas," katanya.
ADA penduduk terpaksa menyembunyikan wang dalam peti ais. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Di saat penduduk daripada tiga kampung lain itu masih bingung memikirkan misteri itu, komuniti Kampung Pulau Raja pula sudah lega apabila sudah tiada lagi kejadian seumpama itu sejak awal tahun lalu berikutan kawasan itu sudah 'dipagar'.
Seorang penduduk kampung yang ingin dikenali sebagai Siti, 41, kejadian duit hilang sudah dialami mereka sejak lebih 10 tahun lalu dan pelbagai ikhtiar sudah dibuat sebelum seorang ustaz dirujuk dan memagari kawasan rumah kira-kira 20 penduduk yang kerap diganggu.
"Sebelum ini memang kami tidak senang duduk kerana kerap sangat hilang wang namun untuk mengaitkannya dengan perlakuan manusia tidak logik kerana tiada kesan, lebih-lebih lagi wang yang di dalam genggaman pun boleh ghaib tiba-tiba.
"Habis ikhtiar kami lakukan termasuk menyorokkan wang dalam peti ais dan menyelit dalam kitab al-Quran tapi ia tetap hilang dan salah satu tips yang dilihat agak menjadi ialah dengan mengepil dawai kokot di hujung helaian wang dengan alat pengokot (stapler).
"Kami juga banyak membuat ikhtiar lain iaitu solat hajat serta merujuk golongan agamawan dan Alhamdulillah selepas 'dipagar kawasan' oleh seorang ustaz awal tahun ini, kejadian itu sudah tiada," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan