ARIF ATAN
Kerajaan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional (PN-BN) terbukti tidak cekap dalam mengurus tadbir negara seperti dapat dilihat pada Laporan Ketua Audit Negara 2020 mengenai penyata kewangan Kerajaan Persekutuan serta pengauditan pematuhan kementerian dan jabatan persekutuan yang dibentangkan hari ini.
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Razak Ridzuan berkata, mengikut laporan tersebut, sebanyak RM620.07 juta jumlah isu pembayaran tidak teratur, kerugian wang awam dan pembaziran.
Katanya, paling mengejutkan adalah sejumlah RM499.18 juta pembayaran tidak teratur melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diterajui Perdana Menteri.
Dalam masa sama, ujarnya, kerugian wang awam sebanyak RM104.79 juta adalah satu nilai yang cukup besar dalam keadaan negara yang ditekan dengan masalah ekonomi.
“Malah, sebanyak RM4.79 juta pembaziran melibatkan barang yang lewat terima dan tidak dipasang untuk Istana Budaya sesuatu yang amat dikesali.
“Kebergantungan kerajaan membuat hutang baru untuk membayar hutang yang telah matang dengan nilai sebanyak RM90.58 bilion bakal membawa masalah kepada negara.
“Liabiliti negara juga membimbangkan dengan nilai yang dilaporkan sebanyak RM1.187 trilion,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Razak berkata, rakyat boleh melihat dengan jelas bahawa ia melengkapkan status “Kerajaan Gagal” yang dianggotai PN-BN.
“Meskipun berbelanja dengan mewah, kes Covid-19 yang dicatatkan masih belum berada pada tahap yang melegakan dengan bilangan kematian yang tinggi,” katanya.
Justeru, tambahnya lagi, Pemuda AMANAH menggesa kepada seluruh rakyat Malaysia membuka mata dan melihat betapa lemahnya kerajaan gabungan PN-BN hari ini dalam mengurus ekonomi dan dana rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan