PH akan cuba halang PRN Melaka di mahkamah

Malaysiakini 
PH Melaka berkata pihaknya akan menggunakan jalan perundangan bagi menghalang PRN daripada diadakan.

Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata pihaknya akan membawa isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 4 Oktober lalu ke mahkamah pada minggu ini.

Katanya, ia bagi membolehkan semakan terhadap proses, prosedur dan fakta berkenaan pembubaran itu dapat dilakukan.

"PH Melaka akan terus menggunakan ruang perundangan bagi memberi sedikit ruang agar kerajaan yang mempunyai keabsahan majoriti boleh dibentuk dan PRN tidak perlu diadakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Melaka adalah 8 November dan hari mengundi pada 20 November.

Adly berkata lagi, kelambatan membuat pemfailan di mahkamah adalah kerana warta pembubaran DUN hanya diserahkan kepada Adun hari ini.

"Bagaimanapun PH Melaka akan tetap bersedia menghadapi segala kemungkinan termasuk PRN," katanya lagi.

Bekas ketua menteri Sulaiman Md Ali menasihati Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Rustam untuk membubarkan DUN setelah hilang majoriti, apabila empat wakil rakyat menarik balik sokongan terhadapnya.

Terdapat kebimbangan pelaksanaan PRN Melaka akan memburukkan penularan wabak Covid-19 di negeri itu.

Menurut data Kementerian Kesihatan, seluruh populasi dewasa di Melaka sudah divaksinasi. Namun terdapat kemungkinan data kurang tepat memandangkan data populasi berdasarkan bancian 2010.

Setakat ini, kadar penggunaan katil ICU untuk wabak Covid-19 di Melaka adalah 36.8 peratus, jauh lebih rendah daripada Sarawak (76.8 peratus) yang juga perlu melaksanakan pilihan raya selepas darurat di negeri itu tamat pada Februari depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan