Sajat berhijrah ke Australia, polis tiada maklumat dimana lokasi

FAZLI RADZI

Polis tidak ada maklumat berhubung dakwaan ahli perniagaan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat, yang ditahan pihak berkuasa Thailand sebelum ini kini berada di Australia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata ketika ini, pihaknya tidak boleh mengesahkan sama ada dakwaan itu benar atau sebaliknya.

“Saya tiada maklumat mengenai dakwaan itu. Sebelum ini pun, polis ada terima maklumat usahawan berkenaan melarikan diri ke Danga Bay, Johor Bahru (sebelum ditahan di Thailand).

“Namun siasatan mendapati perkara itu tidak benar,” lapor BH, malam ini.

Sebelum ini, usahawan kosmetik dalam buruan yang pernah mengungkapkan kata-kata seolah-olah berhasrat untuk keluar dari agama Islam itu menerusi Instragram mendakwa dirinya sudah berada di Australia.

Lelaki menyerupai wanita berumur 36 tahun itu memberitahu bahawa dia sedang menjalani kuarantin di Canterbury, Australia dan secara rasmi berhijrah ke negara itu dengan bantuan kerajaan Australia.

Sajat yang tahu lalu menggemparkan negara apabila mengenakan pakaian jemaah wanita ketika di Makkah turut menegaskan dia tidak melarikan diri, sebaliknya hanya berhijrah.

“Kita tak lari, kita berhijrahlah. Tak baik kata kita lari you all (anda semua) yang kata kita lari tak boleh terima hakikat, ‘kan,” katanya ketika berinteraksi dengan pengikut Instagram.

Pada 8 September lalu, kira-kira jam 6 petang, Sajat ditahan Imigresen Thailand kerana memiliki pasport tidak sah.

Dia kemudian dikatakan dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan Imigresen di negara itu.

Sajat didakwa di mahkamah Thailand pada 9 September, bagaimanapun dibebaskan pada keesokannya dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

Wang itu dibayar oleh seorang kenalannya dikenali sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan jaminan Sajat.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab pada 23 Februari lalu.

Dia dikehendaki di Malaysia mengikut Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam serta menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan