Washington: Seorang pempengaruh (influencer) Instagram dikecam di media sosial selepas melakukan sesi fotografi ala model di sebelah keranda bapanya yang terbuka di majlis pengebumian.
Jayne Rivera, 20, dari Florida kemudian terus menyah aktif akaun Instagramnya selepas menerima serangan daripada netizen.
NDTV melaporkan, tangkap layar gambarnya itu tular di semua platform media sosial.
Dalam gambar itu, dia mengenakan gaun berkot hitam berdiri berdekatan keranda bapanya yang dihiasi dengan bendera Amerika.
Di salah satu gambar, dia dilihat bergambar dengan tangan terlipat.
"Ayah model Instagram ini meninggal dunia dan dia bergambar dengan keranda masih terbuka," kata netizen di Twitter.
Lapan gambarnya dengan pelbagai aksi menyebabkan netizen mengecam tindakannya itu di pelbagai platform.
"Inilah masalah budaya swafoto. Nampaknya makin ramai orang hilang kesopanan," tulis seorang pengguna Twitter.
Ada juga bertanyakan pemilihan pakaiannya yang seksi dan tidak sopan.
"Mengapa anda memakai ini di majlis pengebumian?" tanya netizen.
Namun, Rivera mempertahankan dirinya dengan menjelaskan di NBC News dan mengaku memahami penerimaan negatif itu.
"Gambar itu diambil dengan niat baik dan dengan cara yang akan dipersetujui mendiang ayah saya sekiranya dia masih hidup," ujarnya.
Katanya, setiap orang menangani kehilangan orang yang mereka cintai dengan cara tersendiri.
"Cara tradisional sudah menjadi kebiasaan sementara yang lain mungkin menganggapnya tabu.
"Bagi saya, saya bergambar sebegitu seolah-olah mendiang bapa saya ada di sebelah saya, bergambar di depan kamera seperti yang dia lakukan sebelum ini," katanya.
Apa pun alasan wanita itu, orang ramai tetap merasakan dia melakukan kesalahan kerana dilihat gembira dan seperti meraikan kematian bapanya.
Bapa Rivera meninggal dunia pada 11 Oktober lalu, dua hari selepas ulang tahunnya yang ke-56.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan