N Faizal Ghazali
Tidak ada banyak perkara yang luar biasa terjadi sepanjang Muktamar PAS ke-67 yang berakhir Ahad lalu di Kuala Terengganu.
Hanya berlaku sedikit perubahan kecil, tetapi harus tidak dipandang sebelah mata. Ia bersangkut dengan hala tuju parti itu dan kesan keputusan pemilihan jawatankuasa PAS Pusat.
Wajarlah dikatakan Muktamar PAS kali ini berlangsung dengan pengisian yang terhad, mungkin disebabkan masa diperuntukan juga terhad dan perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Maka tidak ada ucapan-ucapan perwakilan yang terlalu berapi-api sifatnya, tidak ada soal-mempersoalkan, usul-usul luar biasa dan tuntutan-tuntutan yang ketara melainkan pesan-pesan muluk sahaja.
Sehubungan itu juga, tiada sebarang keputusan besar yang menjadi ketetapan baru diambil PAS pada masa sekarang.
Di sebalik kritikan dan label dilontarkan terhadap PAS susulan tindakan politik mutakhir ini, PAS adalah PAS yang sentiasa memilih 'jalan selamat' dan mengelak dicop sebagai 'punca' jika berlaku sebarang krisis hubungan.
Bagaimanapun, susulan apa yang berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka - PAS dilihat berada dalam dilema dan keterpaksaan tersendiri.
Parti itu harus 'menarik rambut dalam tepung' dengan penuh waspada sebelum langkah lebih besar barangkali terpaksa diambil demi kelangsungan politik pada masa mendatang.
Seperti ditegaskan Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man, PRN Melaka dijangka akan menentukan corak dan lenggok percaturan PAS pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Ia memberi gambaran bahawa satu titik baru boleh mengakhiri apa saja yang sudah dimulakan oleh PAS dan Umno, atau membabitkan kerjasama PAS dengan Bersatu.
Apa yang boleh disimpulkan, PAS dilihat lebih cenderung terhadap kerjasama politik bersama Perikatan Nasional (PN) selepas perkembangan yang berlaku di Melaka.
Ia kini dibuktikan apabila PAS terpaksa mengabaikan Umno setelah kepimpinan parti yang diterajui Ahmad Zahid Hamidi itu membuat keputusan untuk bertanding di semua kerusi atas kapasiti BN.
Justeru PAS secara tidak langsung memberi gambaran awal mengenai kecenderungan mereka dengan alasan PN sudah didaftarkan sebagai parti politik berbanding gabungan Muafakat Nasional (MN) yang tidak berdaftar.
Perwakilan PAS Melaka, Sudin Nooh misalnya melihat PAS tidak akan berputus asa bagi meneruskan perjuangan bagi menyatukan ummah.
Katanya jika pemuafakatan tersebut berjaya, tentunya masyarakat bukan Islam akan dapat melihat kekuatan sebenar Islam dan orang Melayu.
"PAS Melaka tidak bertindak kerana dendam dan emosi, namun malangnya PN dan MN akhirnya bertembung pada PRN Melaka.
"Apa pun kita lihatlah nanti hasil yang akan menjadi kayu ukur untuk menghadapi PRU15.
"PAS berusaha hendak bersatu padu, namun apakan daya ia tidak menjadi kenyataan. Agenda menyatukan ummah diperjuangkan PAS sejak penubuhannya dan kekal sehingga kini," ujarnya.
Tahaluf siyasi
Sementara itu sepanjang Muktamar berlangsung, isu-isu berkait tahaluf siyasi sama sekali tidak disentuh secara mendalam.
Jika ada pun sekadar sepintas lalu dengan menegaskan bahawa PAS akan meneruskan hubungan MN dan memperkasakan PN.
Malah ada juga pimpinan yang memberi amaran betapa tidak perlu ramai pemimpin yang bercakap atau menulis mengenai isu berkenaan, sebaliknya berdiri teguh yang menjadi panduan yang digariskan presiden.
Ia jelas menunjukkan Muktamar kali ini juga cuba mengelak sebarang kontroversi yang dianggap tidak perlu apalagi tidak menguntungkan mereka.
Sementara itu dalam aspek pemilihan jawatankuasa PAS Pusat juga tiada perubahan ketara berlaku daripada keputusannya, misalnya dengan mengekalkan presiden, timbalan presiden dan barisan naib presiden.
Nama-nama besar tersingkir
Namun dengan tersingkirnya beberapa nama besar untuk terus menganggotai ahli jawatankuasa PAS Pusat, ia juga perlu dianalisis dengan bacaan politik.
Antara nama yang tidak boleh diketepikan ialah anggota Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali; anggota Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan anggota Parlimen Tumpat, Che Abdullah Mat Nawi.
Mereka adalah individu dalam PAS yang terkena tempias kontroversi sejak kebelakangan ini.
Khairuddin misalnya, walaupun prestasinya boleh 'diangkat ibu jari ke atas' sepanjang menjadi menteri perusahaan perladangan dan komoditi dalam kabinet Muhyiddin Yassin, namun khidmatnya tidak disambung sebagai jemaah menteri diterajui Ismail Sabri Yaakob.
Bekas setiausaha Dewan Ulama PAS itu menerima kecaman umum selepas didapati gagal mematuhi SOP sebaik pulang dari Turki sebelum ini.
Selain itu dia juga terpalit dengan isu tularnya rakaman audio yang didakwa suara miripnya yang antara lain mengkritik tindakan-tindakan yang dibuat presiden PAS.
Selain itu Khairuddin juga dianggap sebagai tokoh PAS yang lebih mesra Umno, berbanding Bersatu.
Hal-hal tersebut meninggalkan tanda tanya apakah kontroversi yang menimpa dirinya itu adalah jawapan yang diterjemahkan oleh perwakilan Muktamar yang mengundi.
Khairuddin ketika memberi reaksi mengenai kekalahan itu bagaimanapun menganggap keputusan perwakilan itu adalah perkara biasa dalam proses demokrasi sesebuah parti.
Tewasnya Nik Abduh
Dalam perkembangan itu, tewasnya Nik Abduh pada pemilihan kali ini boleh dikatakan keputusan di luar jangka sekali gus menjadikan 'tiada lagi legasi' bekas mursyidul am PAS Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam barisan kepimpinan utama parti itu.
Sukar untuk dipastikan punca penolakan tersebut, namun pandangan umum beranggapan Nik Abduh adalah pemimpin PAS yang mesra Umno dan berperanan mencetuskan kerjasama dengan Umno sebelum dan selepas pilihan raya umum lalu.
Sebagai kesimpulan, barisan jawatankuasa baru itu dilihat cuba memberi gambaran betapa PAS mahukan satu pasukan yang solid dalam semua aspek khususnya dalam menentukan hala tuju politiknya.
PAS memerlukan tenaga dan fikiran yang benar-benar sehaluan dan seperti ditekan berulang kali sepanjang Muktamar misalnya perihal wala kepada pimpinan dan 'tidak bersuara sumbang' terhadap pandangan kepimpinan tertinggi.
Perwakilan PAS Negeri Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan dipetik dalam perbahasan menegaskan bahawa gagasan penyatuan yang dibawa adalah selari dengan perlembagaan PAS yang antaranya menyeru umat kepada manusia kepada syariat Allah melalui dakwah secara tulisan dan amalan.
"Apabila tiba masa Tuan Guru Presiden kata kita kena belok ke kanan, maka kita kena belok ke kanan. Jangan ada yang belok ke kiri. Kalau Tuan Guru Presiden kata kena belok ke kiri, janganlah ada yang belok ke kanan.
"Dan kadang-kadang kita melalui satu perjalanan yang begitu panjang, tiba-tiba Tuan-Guru Presiden kata kena u-turn, kena patah balik, jadi kena u-turn.
"Kalau naik motor, penunggang motor dia cenderung ke kiri, janganlah pula pembonceng dia cenderung ke kanan. Dua-dua kena cenderung ke kiri supaya tak jatuh motor supaya tak rebah," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan