FAZLI RADZI
Ungkapan ‘national embarrassment’ (‘memalukan negara’) dilihat sedang sohor kini di laman Twitter dengan lebih 12,400 kicauan setakat jam 2.30 petang ini.
Ini susulan keputusan Mahkamah Rayuan pagi tadi yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak, yang didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil antara lain menyifatkan tindakan Najib sebagai memalukan Malaysia.
“There is no national interest here as the appellant claimed for SRC, just a national embarrassment (Ini bukan bagi kepentingan nasional sebagaimana yang dituntut oleh perayu untuk SRC, ini adalah memalukan negara),” tegasnya.
Beliau bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera turut berpendapat Najib mempunyai kepentingan peribadi meluluskan RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd (SRC).
Panel hakim sebulat suara berkata demikian selepas Najib yang juga wakil rakyat BN Parlimen Pekan itu dalam pembelaannya berkata, tindakannya adalah bagi kepentingan nasional.
Ekoran itu, frasa ‘national embarrassment’ atau ‘memalukan negara’ tular dalam kalangan pengguna Twitter.
Bahkan, keputusan Mahkamah Rayuan hari ini turut menarik kreativiti aktivis, Fahmi Reza dengan lakaran terbaharunya dengan kapsyen, Still guilty of corruption (Masih bersalah kerana rasuah).
Sementara itu, pengguna Twitter, Puspawati Rosman menulis, “Bukan calang-calang orang boleh dapat anugerah Aib Negara ni. Tahniahlah.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan