Ini panduan untuk menteri yang mahu buat umrah

MALAYSIA DATELINE

Tidak dinafikan ramai dalam kalangan rakyat negara ini memilih hujung tahun untuk bercuti atau menunaikan umrah.

Tidak kurang juga mereka dalam kalangan menteri ramai yang mengambil kesempatan membuat umrah pada hujung tahun mungkin cuti mereka masih banyak atau faktor cuaca di Mekah dikatakan dingin pada hujung tahun begitu juga di tempat-tempat lain.

Bagaimanapun, berlainan pula di Malaysia sebaik bertemu hujung tahun rakyatnya akan menghadapi musim hujan atau tengkujuh yang boleh berlakunya banjir.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mengeluarkan arahan agar mana-mana menteri yang berada di luar negara segera pulang ke tanah air untuk bersama membantu Keluarga Malaysia yang dalam kesusahan.

Bahkan beliau mengarahkan semua menteri membatalkan rancangan bercuti di luar negara bagi membantu mangsa banjir di beberapa negeri.

Dilaporkan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berada di Mekah kerana menunaikan umrah ketika rakyat sedang menerima musibah banjir yang teruk.

Melihat situasi ini Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin menyarankan mana-mana menteri perlu mengikuti beberapa langkah ini  sebelum mengerjakan umrah.

Iaitu;

Tengok ramalan cuaca. Kalau musim banjir, tangguhlah dulu.

Semak tugas rasmi. Kalau ada yang mustahak, selesaikan tugas dulu.

Jenguk rakyat di kawasan. Kalau ada yang tak makan, duit bagi pada mereka dulu.

Pergi dua atau tiga hari cukup. Balik segera. Umrah banyak kali bukan wajib.

Betul-betul pergi buat umrah dan ibadat, tidak usah ambil peluang makan angin.

Baliklah segera jika ada musibah. Jangan tunggu sampai PM panggil balik.

“Kami bukan tak bagi menteri buat umrah, cuma sesuaikan dengan masa dan situasi saja,” saran beliau.

Kali ini musim hujan agak luar biasa, 18 Disember lalu menyebabkan banjir teruk berlaku di kawasan yang langsung tidak pernah banjir sehingga mengorbankan berpuluh-puluh nyawa.

Negara seolah-olah huru-hara sebentar apabila berpuluh-puluh ribu mangsa banjir di seluruh negara seperti di Shah Alam, Hulu Langat, Mentakab Pahang dan beberapa kawasan lagi terjejas teruk akibat banjir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan