Tarik balik pindaan Akta 342 elak individu dianiaya

FAZLI RADZI

Pejuang Muda Malaysia menggesa kerajaan menarik kembali kertas cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 (Akta 342) dan membuat penilaian semula.

Ketuanya, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, kerajaan perlu menyediakan garis panduan yang jelas bagi pelaksanaan undang-undang itu bagi mengelak penguatkuasa melakukan kesilapan atau penganiayaan ke atas pihak yang didakwa pada masa hadapan.

Beliau menegaskan sesuatu hukuman yang ingin dicadangkan mestilah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan (propotionality principal).

Dr Abu Hafiz Salleh Hudin

“Adalah tidak adil, untuk menghukum seseorang dengan kesalahan seperti gagal memakai pelitup muka atau tidak melaksanakan penjarakan fizikal dengan denda sehingga kepada had maksimum RM 100,000 atau penjara mencapai tempoh maksimum tujuh tahun.

“Apatah lagi, pada ketika ini, semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac 2020 sehingga sekarang, rakyat kelas bawahan adalah kumpulan yang paling besar terdedah kepada tangkapan dan hukuman kesalahan-kesalahan yang disebutkan itu,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, dalam tanggapan umum, golongan kayangan sama ada melibatkan bangsawan, menteri, penjawat tinggi dan ahli politik kerajaan kerap kali terlepas dari hukuman yang sama.

“Oleh yang demikian, pindaan RUU ini sangat dibimbangi akan menyasarkan kepada rakyat marhaen berbanding kumpulan elit dalam negara,” tambah Dr Abu Hafiz lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan