Adegan ‘panas’ drama Perempuan Itu tidak patut ada dalam budaya tempatan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berpandangan adegan panas ‘teaser’ drama Perempuan Itu tidak sesuai dengan budaya tempatan.

Beliau berkata, keputusan sama ada drama itu ditayangkan atau tidak dibawah kuasa Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).

“Kita serah kepada K-KOMM untuk mengambil sebarang tindakan. Dari sudut panduan agama, budaya seperti itu tidak sepatutnya dibawa ke dalam negara kita,” katanya menurut laporan Bernama.

Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak hanya akan berdiam diri, sebaliknya satu sesi perbincangan akan diadakan bersama K-KOMM bagi mencari satu ketetapan, garis panduan dan solusi agar isu seperti tidak berulang.

Terdahulu, K-KOMM telah memberi amaran keras kepada semua pengendali syarikat televisyen, supaya tidak memaparkan sebarang adegan menyentuh sensitiviti agama dan rakyat di negara ini.

Menterinya, Annuar Musa berkata pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan, sekiranya terdapat stesen televisyen yang melanggar garis panduan ditetapkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan