Annuar Musa: 'Kita ini bukan Hollywood'

N Faizal Ghazali

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa memberi penegasan dan amaran kepada stesen-stesen televisyen dan penggiat drama agar mematuhi garis panduan yang ditetapkan dalam penyiaran karya seni.

Mengulas mengenai isu kandungan drama yang dikatakan memaparkan adegan melampau katanya, pemain industri terbabit perlu sedar bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang agama rasminya adalah Islam.

"Kita ini bukan Hollywood. Kita juga bukan Eropah, kita ini (negara) timur. Kita ini Malaysia sebuah negara agama rasminya Islam.

"Jadi benda macam itu tak perlu dah kementerian memperingatkan, saya anggap kalau dia langgar juga itu sengaja cuailah," katanya pada sidang media selepas progam kembali ke sekolah peringkat parlimen Ketereh di Kota Bharu, hari ini.

Annuar berkata demikian ketika ditanya berhubung paparan kandungan drama adegan panas yang tular di media sejak semalam.

Ia selepas pelakon, Zul Ariffin dipercayai memuat naik klip video ‘teaser’ drama bertajuk Perempuan Itu.

Drama arahan Erma Fatima berjudul Perempuan Itu dibintangi oleh Zul Ariffin dan Mimi Lana itu akan menemui penonton di TV3 pada bulan Ramadan ini.

Sementara itu Annuar berkata, sebaik mendapat maklumat mengenai perkara itu dia terus menyemak perkara sebenar.

Jelasnya, di bawah peraturan sekarang kerajaan memperturunkan kuasa penapisan bagi kandungan drama di peringkat stesen-stesen televisyen dan mereka dikehendaki membuat pengawalan sendiri.

"Tapi saya juga telah keluarkan kenyataan kalau saya mendapati stesen televisyen abai dalam tanggungjawab menjaga garis panduan tertentu terutama menyentuh hal agama budaya dan adab resam dan sebagainya, maka saya akan menyemak semula kemudahan itu dan kita akan menarik balik.

"Kita memberikan kemudahan atas kepercayaan semua stesen televisyen yang bekerjasama dengan swasta membuat drama itu digalakkan tapi mereka mesti wajib mematuhi garis panduan yang ditetapkan," katanya.

Justeru tambahnya, adegan-adegan yang tidak Melayu tidak Islam sifatnya serta menyinggung perasaan orang Melayu-Islam dan sebagainya sepatutnya tidak perlu menunggu teguran kementerian.

"Kena faham sendirilah batas-batas. Kalau adegan itu sehingga rakyat biasa terperanjat melihatnya kerana sangat tidak bersesuaian, takkan kita semua di stesen televisyen dah hilang pedoman.

"Saya ingin memberi amaran keras kepada semua stesen televisyen yang dilesenkan oleh SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) sekiranya mereka berterusan melanggar garis panduan yang ditetapkan, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan," kata Annuar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan