ZURAINI BINTI MOHD KHALID
SIAPA sangka, gara-gara tersilap langkah, Syaza (bukan nama sebenar) kini terpaksa menanggung sengsara dan kesedihan selepas ditinggalkan suaminya.
Wanita berusia 29 tahun itu diceraikan oleh suaminya yang merupakan lelaki paling dicintainya selepas dia hamil anak luar nikah hasil hubungan sulit dengan rakan sepejabat.
Akibatnya, keluarga Syaza juga turut memulaukan wanita itu kerana dianggap memalukan keluarga.
Mengimbau kembali, Syaza berkata, dia sama sekali tidak menyangka terjebak dengan hubungan sulit dengan rakan sepejabatnya sendiri.
“Saya dan Ali (bukan nama sebenar) merupakan rakan sepejabat di sebuah syarikat swasta di selatan tanah air.
“Pada awalnya, kami hanya berkawan biasa, namun selepas terlibat dalam satu projek besar, kami menjadi semakin rapat,” katanya memulakan bicara kepada K2.
Syaza ketika itu sedang bercinta dengan bekas suaminya, Azmi (bukan nama sebenar) dan pada 2018, mereka kemudian selamat diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri.
Perkahwinan tersebut dilayari penuh bahagia sebelum Azmi ditukarkan ke cawangan baharunya di Sungai Petani, Kedah pada pertengahan 2019.
Wanita itu mengakui dia berasa tertekan memandangkan tidak pernah berjauhan dengan Azmi, namun terpaksa akur dengan keadaan tersebut.
“Saya pula masih lagi perlu menyelesaikan projek syarikat dan tidak boleh memohon ditukarkan untuk mengikut suami.
“Maka, kami terpaksa tinggal berjauhan,” katanya.
Pada mulanya, semua berjalan seperti biasa, namun selepas Syaza menjadi semakin sibuk, dia jarang menghubungi suaminya untuk berkongsi cerita.
Malah, kedua-dua mereka juga tidak bertemu susulan sekatan perjalanan akibat Covid-19, menyebabkan hubungan mereka semakin renggang.
Malah, Syaza menjadi semakin akrab dengan Ali dan mereka kerap menghabiskan masa bersama.
“Ali masih bujang dan memandangkan kami sepejabat, kami sering menghabiskan masa bersama tidak kira di pejabat atau pun luar pejabat.
“Persahabatan itu akhirnya menerbitkan rasa suka dalam hati saya dan saya akui, cukup selesa dengan Ali.
“Dia amat memahami dan sentiasa ada di sisi saya, menyebabkan kami akhirnya terlanjur,” dedah Syaza.
Semakin lama, mereka semakin kerap terlanjur, menyebabkan Syaza akhirnya hamil anak luar nikah.
“Selepas melakukan ujian dan didapati hamil, jantung saya terasa seperti mahu meletup.
“Saya teramat takut dan ketika itu, saya hanya terfikirkan Azmi dan tidak sangka saya telah mengecewakannya,” katanya.
Syaza memaklumkan perkara tersebut kepada Ali dan dia amat kecewa apabila lelaki itu enggan mengakui itu adalah anaknya, memandangkan status Syaza yang merupakan isteri orang.
Syaza tidak tergamak menggugurkan kandungan tersebut kerana enggan lagi menanggung dosa.
“Saya akhirnya berterus terang dengan suami. Ketakutan terbesar saya menjadi kenyataan apabila Azmi mengambil keputusan menceraikan saya kerana terlalu jijik dengan perbuatan saya,” katanya.
Malah, keluarga Syaza juga membuang wanita itu kerana tindakannya itu telah mencemarkan nama baik keluarga.
Syaza kini membawa diri ke Kuala Lumpur dan menetap bersama seorang rakannya dan anak lelakinya yang kini berusia kira-kira setahun.
“Saya berjaya mendapat kerja baharu di ibu kota dan akan membesarkan anak bersendirian.
“Menurut ibu Azmi, lelaki itu sudah berpindah ke tempat lain dan enggan lagi dikaitkan dengan saya,” tutur Syaza sedih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan