Malaysiakini
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggesa dua kementerian mengambil tindakan tegas terhadap isu video drama Perempuan Itu yang tular kerana aksi menggairahkan dua pelakon baru-baru ini.
Ketua Pengarah Jakim, Hakimah Mohd Yusoff dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya mengambil perhatian serius terhadap isu berkenaan dan menentang keras penyiaran program seumpamanya.
Menurutnya, program itu jelas mempamerkan perbuatan-perbuatan dilarang oleh Islam dengan aksi dan adegan tidak bermoral yang melampaui batas serta bertentangan dengan norma masyarakat serta hukum syarak.
“Drama seumpama ini tidak wajar disiarkan pada bila-bila masa apatah lagi di bulan Ramadhan.
“Jakim menyatakan pendirian dan pandangan mengenai isu ini kepada pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia supaya tindakan tegas dapat diambil segera,” katanya.
Ketua Pengarah Jakim, Hakimah Mohd Yusoff.
Pelakon Zul Ariffin pada Jumaat lalu memuat naik sedutan babak ‘panas’ lakonannya bersama pelakon baru, Siti Hariesa di akaun Instagram miliknya.
Namun, perkongsian itu mencetus kemarahan orang ramai yang menyifatkan adegan dilakonkan mereka menyerupai babak dalam filem lucah.
Sedutan berkenaan turut mengundang perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad yang kesal terhadap klip promosi berunsur maksiat itu.
Pada masa sama, Hakimah berkata Jakim menggesa semua pihak sama ada stesen penyiaran penerbit, penulis skrip dan para pelakon agar lebih cakna dan mengelakkan isu-isu seumpama itu yang akan menyerap masuk ke dalam jiwa masyarakat.
“Ia bersalahan dengan budaya norma dengan ajaran Islam dan amalan murni masyarakat negara ini.
“Jakim tidak akan berkompromi dengan isu isu-isu seumpama ini dan akan sentiasa bersama dengan semua pihak berkuasa berkenaan bagi memantau dan mengambil tindakan sewajarnya agar ianya tidak berulang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan