'Jangan buang masa dengan rundingan jika nak kuatkan pembangkang'

NS Ramli

Usaha menguatkan gabungan pembangkang tidak akan berhasil menerusi rundingan yang tidak berkesudahan, kata Ketua Pemuda PKR (AMK) Akmal Nasir.

Akmal sebaliknya berkata, pembangkang boleh kembali kuat dengan membawa isu-isu yang dekat dengan rakyat.

"Nak kuatkan (gabungan pembangkang) itu bukan dengan buang masa bincang runding dan sebagainya.

"Jadi, (kalau) nak kuatkan PH kena bawa isu yang rakyat nak kita perjuangkan.

"Kalau di Pahang sebagai contoh, isu alam sekitar, pembalakan, siapa yang sebenarnya berani bercakap mewakili pihak rakyat," katanya sambil menambah pengukuhan pembangkang perlu kekal berteraskan parti sedia ada dalam PH.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan PKR Indera Mahkota 2022, di Kuantan, hari ini.

Mesyuarat dihadiri Ketua Cabang Keadilan Indera Mahkota, Lee Chean Chung yang juga Adun Semambu.

Akmal turut mengingatkan semua pimpinan parti agar kembali menumpukan isu rakyat dan tidak terikut-ikut dengan percaturan politik parti kerajaan ketika ini.

Diminta mengulas mengenai saranan Rafizi Ramli kepada PH supaya fokus untuk mempertahankan semua kerusi dimenangi pada PRU lalu, Akmal berkata saranan itu turut merangkumi kerusi Parlimen yang kini milik parti lain selepas Langkah Sheraton.

"Kita perlu ingat bahawa kerusi yang dikhianati itu adalah milik parti dan bukannya milik individu tertentu.

"Jadi, kerusi itu juga kita akan tumpu untuk rampas kembali pada PRU akan datang, selain berusaha mempertahankan kerusi dimenangi sebelum ini," katanya yang juga ahli parlimen Johor Bahru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan