Malaysiakini
'Kamu boleh ambil balik, saya tak mahu jadi Raja Formula Songsang'
Najib Razak secara sinis mendakwa Rafizi Ramli yang membuat kemunculan kembali dalam arena politik sekadar untuk membangkangnya demi kepentingan Pakatan Harapan (PH) dan bukannya rakyat.
Memetik wawancara Naib Presiden PKR itu dengan Malaysiakini, Najib berkata disebabkan itu dia tidak hairan jika serangan Rafizi hanya disasarkan terhadapnya.
"Dia kata PH menjadi lemah sebab saya telah rampas kedudukan dan keupayaan PH untuk berhubung dengan rakyat.
"Dia kata dia mahu ambil semula inisiatif ini dari saya. Ini kira dia nak bangkang saya hanya sebab nak membangkang demi kepentingan politik PH.
"Bukan sebab saya salah. Bukan juga untuk kepentingan rakyat atau negara. Cuma demi kepentingan politik PH," tulis Najib di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Rafizi berkata bekas perdana menteri itu kini secara berkesan menjadi pembangkang “de facto” selepas dia "merampas" keupayaan pembangkang untuk "berhubung dengan rakyat setiap hari" di laman media sosialnya.
Tetapi Rafizi Ramli - yang baru-baru ini mengumumkan kembali aktif dalam arena politik - berkata dia bersedia mengambil semula inisiatif itu daripada Najib untuk memperkasakan rayuan PH kepada pengundi menjelang pilihan raya umum akan datang.
“Saya rasa apa yang telah hilang (daripada PH) dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini ialah keupayaan untuk berhubungan setiap hari dengan rakyat. Lebih padah lagi, keupayaan itu telah dirampas oleh Najib.
“Dia ambil pendekatan populis untuk menyuarakan isu harian yang biasa kita lakukan semasa kita jadi pembangkang. Jadi, secara berkesan, Najib adalah pembangkang de facto kepada kerajaan,” kata Rafizi dalam wawancara bersama Malaysiakini.
Dalam pada itu Najib turut menyindir Rafizi dengan berkata bahawa dia tidak berminat untuk menjadi "Raja Formula Songsang"
"Saya pun tak mahu inisiatif ini, kamu boleh ambil balik sebab saya tak berhasrat jadi 'Raja Formula Songsang'," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan