Malaysiakini
Reuters
Perubahan iklim sedang melanda dan manusia masih jauh daripada bersedia, kata panel iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran dalam laporan utamanya pada Isnin.
Menyedari hampir separuh penduduk dunia sudah terdedah kepada kesan iklim yang semakin berbahaya, laporan itu menggesa tindakan drastik pada skala besar:
Satu pertiga hingga separuh daripada planet ini perlu dipelihara dan dilindungi untuk memastikan bekalan makanan dan air tawar pada masa hadapan.
Petempatan pesisir laut memerlukan rancangan untuk memastikan orang ramai selamat daripada ribut, kenaikan paras laut atau banjir.
"Penyesuaian menyelamatkan nyawa," kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres (gambar, bawah) sempena penerbitan laporan itu.
"Apabila kesan iklim semakin teruk - dan ia akan tambah buruk - maka meningkatkan pelaburan akan menjadi penting untuk meneruskan kelangsungan hidup...
“Melambat-lambatkan (adaptasi) bererti kematian," kata Guterres lagi.
Laporan itu paling terkini dalam siri penyelidikan oleh Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) yang memperincikan konsensus global mutakhir mengenai sains iklim.
Bagaimanapun, laporan tersebut memfokuskan bagaimana perubahan iklim menjejaskan alam semula jadi dan masyarakat serta perkara yang boleh mereka lakukan untuk menyesuaikan diri.
Dalam hampir semua perkara, laporan itu menjelaskan bahawa perubahan iklim memberi kesan kepada dunia jauh lebih cepat daripada jangkaan saintis.
Sementara itu, negara di dunia telah gagal untuk mengekang pelepasan karbon yang menyebabkan pemanasan planet dan malah sebaliknya terus meningkat.
"Pencemaran karbon yang tidak dikawal memaksa mereka yang paling terdedah di dunia bergerak dalam terpaksa ke arah kemusnahan," kata Guterres dalam ucapan video Isnin.
"Faktanya tidak dapat dinafikan. Melepaskan tanggungjawab kepimpinan dalam isu ini adalah jenayah," tegasnya.
Mitigasi
Walaupun kerajaan perlu mengekang pelepasan mereka secara drastik untuk mengelakkan pemanasan global, mereka juga boleh berusaha untuk mengehadkan penderitaan dengan menyesuaikan diri terhadap keadaan dunia yang lebih panas, kata laporan itu.
Penyesuaian ini, kata laporan itu lagi akan menelan banyak wang - untuk membiayai teknologi baru dan sokongan institusi.
Sementara itu, bandar boleh melabur dalam kawasan penyejukan untuk membantu orang ramai melalui gelombang haba, kata laporan tersebut.
IPCC berkata komuniti pesisir laut mungkin memerlukan infrastruktur baru atau untuk berpindah sama sekali.
"Dari segi penyesuaian transformasi, kita boleh merancangnya dan melaksanakannya sekarang, atau ia akan ditujukkan kepada kita oleh perubahan iklim itu sendiri," kata Kristina Dahl, pakar iklim di Kesatuan Saintis Prihatin, yang tidak terlibat dalam menulis laporan IPCC ini.
Tetapi dalam beberapa kes, laporan itu mengakui, kos untuk menyesuaikan diri akan menjadi terlalu tinggi.
Pengeluaran laporan itu tiga bulan selepas pemimpin dunia bertemu pada sidang kemuncak iklim COP26 di Glasgow, Scotland, menyerlahkan keperluan mendesak untuk membendung pemanasan global pada suhu 1.5 darjah Celsius (2.7 darjah Fahrenheit) daripada suhu sebelum zaman perindustrian.
Melanggar suhu ambang itu akan menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan kepada planet ini, katanya.
Sementara itu, setiap kenaikan pemanasan pula, jelas laporan itu lagi akan menyebabkan lebih banyak kesakitan.
"Penyesuaian (adaptasi) bukanlah langkah yang akan membebaskan daripada kesan perubahan iklim.
“Terdapat had dalam penyesuaian," kata Maarten van Aalst, pengarah Pusat Iklim Bulan Sabit Merah, Palang Merah dan pengarang bersama laporan itu.
"Kita harus mengurangkan pelepasan gas rumah hijau kerana jika tidak, ia akan menjadi sangat teruk," katanya lagi.
Mengehadkan pemanasan global kepada paras hampir 1.5C mungkin tidak menghalang kerugian terhadap alam semula jadi, masyarakat atau ekonomi, tetapi akan mengurangkan kesannya dengan ketara, kata laporan itu.
Setelah memanaskan 1.1C, planet ini dijangka mencapai suhu ambang kemusnahan pada 1.5C dalam masa dua dekad.
Keadilan sosial
Laporan IPCC itu juga memberi amaran masyarakat akan gagal menyesuaikan diri dengan dunia yang semakin panas jika mereka tidak inklusif secara sosial dalam menangani tugas itu.
Penyelesaian perlu mempertimbangkan keadilan sosial dan termasuk penduduk Orang Asli, golongan minoriti dan orang miskin, katanya.
"Orang miskin dan paling terpinggirlah yang paling terdedah (dengan kesan perubahan iklim)," kata Timon McPhearson, ahli ekologi bandar di The New School di New York dan salah seorang daripada 270 pengarang laporan itu.
Itu termasuk orang yang tinggal di negara membangun di Afrika, Asia dan negara kepulauan kecil, serta komuniti terpinggir di negara kaya seperti Amerika Syarikat.
Tetapi masa semakin suntuk untuk melakukan transformasi seluruh masyarakat yang diperlukan, penulis laporan itu memberi peringatan.
Keputusan yang dibuat oleh masyarakat dalam dekad akan datang akan menetapkan laluan iklim yang akan datang, tegas mereka.
"Terdapat tetingkap (peluang) kecil dan cepat tertutup untuk menjamin masa depan yang boleh didiami di planet ini," kata Hans-Otto Portner, pengerusi bersama kumpulan kerja IPCC yang menjana laporan itu.
"Kami perlu mengharungi cabaran ini," katanya.
(Laporan oleh Jake Spring, Gloria Dickie dan Andrea Januta)
-Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan