Malaysiakini
Penanda aras realistik buat Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum akan datang ialah memenangi kira-kira 80 kerusi parlimen, kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.
Rafizi - yang kembali aktif dalam arena politik - berkata PH perlu mula menggandakan usaha merayu kepada pengundi pada kadar segera bagi mengelakkan mereka terkubur pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti.
Merujuk prestasi buruk PH pada pilihan raya mengejut Johor, dia memberi amaran bahawa pakatan pembangkang berdepan dengan masalah kerana Johor adalah "mikrokosma Malaysia secara keseluruhan".
“Yang terbaik yang saya harapkan secara realistik sekarang ialah memastikan PH kekal utuh sebagai blok pembangkang terbesar di Parlimen selepas pilihan raya umum akan datang.
“Apa yang kita tidak mahu ialah bukan sahaja kita kalah, tetapi kita menjadi blok ketiga atau keempat di Parlimen kerana itu bermakna PH semakin hilang relevan dan itu berbahaya.
“Jadi, secara realistik, kita seharusnya cuba memenangi kira-kira 80 kerusi pada pilihan raya umum akan datang kerana saya fikir 80 kerusi adalah penanda aras yang perlu kita sasarkan untuk kekal sebagai blok terbesar atau kedua terbesar di Parlimen,” kata Rafizi kepada Malaysiakini dalam satu wawancara di pejabatnya di Sungai Besi, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Antara isu yang terus menghantui PH adalah perdebatan sama ada Presiden PKR Anwar Ibrahim masih merupakan calon perdana menteri yang sesuai untuk gabungan pembangkang atau sudah tiba masanya mereka mencari pemimpin lain.
Selepas prestasi buruk PH pada pilihan raya negeri Melaka, Sarawak dan Johor, terdapat kritikan yang semakin memuncak mengenai kerelevanan Anwar serta desakan agar dia berundur sebagai ketua pembangkang.
Siapa calon terbaik PM
Namun, Rafizi percaya Anwar masih adalah calon perdana menteri terbaik buat PH ketika ini, tetapi yang lebih penting, katanya, mereka perlu kekal fokus dan bersatu padu dan bukannya mempertikaikan calon perdana menteri.
“Jika Anwar berundur hari ini - dan menjelang pilihan raya umum - kotak Pandora akan terbuka mengenai siapa calon perdana menteri terbaik.
“Kemungkinan besar, pertengkaran tidak akan berakhir. Setiap orang akan mempunyai pendapat masing-masing dan tidak ada seorang pun yang akan mendapat sokongan oleh ketiga-tiga parti.
"Tidak kira apa yang orang katakan tentang Anwar, terutamanya tentang apa yang berlaku dalam tempoh dua hingga tiga tahun lepas, hakikatnya dia masih kekal sebagai calon perdana menteri terbaik untuk memimpin PH dalam pilihan raya umum akan datang," kata Rafizi.
Menurut bekas ahli parlimen Pandan itu, PH tidak sepatutnya bercakap mengenai calon perdana menteri sama sekali, kerana ia bukan perkara yang paling dipedulikan oleh majoriti pengundi.
Konsep ‘kemah besar’
Walaupun mengakui pengundi bandar cenderung mengambil berat tentang calon perdana menteri, Rafizi berkata pengundi muda, pengundi kali pertama dan pengundi ekonomi sebenarnya tidak mengambil berat perkara sedemikian.
"Bagi mereka, semuanya sama. Kita telah tukar tiga perdana menteri, masing-masing masih tidak dapat menyelesaikan masalah kita.
“Jadi mereka mengundi dengan penuh keterujaan bahawa mungkin ada sesuatu yang berfaedah daripada calon-calon ini, mereka mengundi kerana percaya bahawa individu berkenaan ikhlas tentang apa yang mahu dilakukan, mereka mengundi kerana teruja bahawa orang ini cekap dan mereka mampu mengajar saya sesuatu melampaui retorik,” katanya.
Selain itu, bercanggahan dengan pegangan oleh kebanyakan pemimpin PH, Rafizi tidak percaya dengan pendekatan konsep "khemah besar" yang katanya, tidak akan membawa banyak manfaat kepada gabungan itu sekarang.
Tiada nilai tambah
Daripada mencari rakan kongsi baru yang berkemungkinan tidak mampu menawan sokongan pengundi baru kepada PH, dia berkata gabungan itu perlu memberi tumpuan dalaman dan memperbaiki diri mereka sebagai satu produk kepada pengundi terlebih dahulu.
“Setakat ini, kamu tahu saya menentang konsep yang dipanggil 'khemah besar' ini. Bukan kerana apa-apa, cuma data menunjukkan sebaliknya.
"Pendekatan untuk sebuah khemah besar adalah mengambil pandangan yang mudah tentang kecenderungan pengundi," katanya.
“Mereka yang menyokong pendekatan khemah besar ini berpendapat jumlah undi parti tertentu akan membawa kemenangan kepada PH, tetapi tidak semestinya undi berkenaan akan pergi ke PH.
"Pendekatan khemah besar tidak mengambil kira kemungkinan ini. Ia mengandaikan bahawa jika kita kurangkan bilangan parti yang bertanding, undi akan diberikan secara automatik kepada kita. Bukan macam itu,” katanya.
Terdapat juga persoalan jika kerjasama dengan parti-parti baru, mampu membawa sebarang nilai tambah kepada PH.
Parti-parti pembangkang lain seperti Muda, Pejuang dan Warisan kini bebas daripada naungan PH yang merupakan blok pembangkang terbesar di Parlimen sekarang.
Penyokong yang sama
Muda memeterai pakatan pilihan raya dengan PH pada pilihan raya mengejut di Johor Dalam penampilan sulungnya dalam pilihan raya dan berjaya, ia berjaya memenangi satu kerusi - Puteri Wangsa. Jumlah kerusi yang sama dimenangi oleh PKR yang bertanding menggunakan logo sendiri.
Pejuang dan Warisan pula kalah teruk, dengan semua calon mereka kehilangan wang pertaruhan di kerusi yang mereka tandingi.
Mengenai Muda, Rafizi berkata berdasarkan prestasi mereka pada pilihan raya Johor, tidak ada bukti bahawa mereka berjaya menarik undi baru buat PH kerana masing-masing mendapat sokongan kumpulan pengundi yang sama.
Sementara itu, bekerjasama dengan Pejuang mungkin membawa lebih banyak masalah daripada faedah kerana "sengsara dan keperitan" akibat peranan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam kejatuhan kerajaan PH mungkin membantutkan sokongan penyokong teras PH, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan