Saifuddin Nasution perli Rafizi

Malaysiakini

Ketika PKR dikhianati, ada pemimpin pilih bercuti - Saifuddin

Ketika berlaku pengkhianatan dalam PKR, ada dalam kalangan pemimpin parti itu yang memilih untuk bercuti, kata setiausaha agungnya, Saifuddin Nasution Ismail.

"Sukarnya KEADILAN bergerak tatkala sejumlah pimpinan utama khianat. Yang tinggal pula ada yang memilih bercuti.

"Tugas mengukuh parti digalas DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan pimpinan lain yang tinggal," katanya menerusi Facebook.

Khianat yang dimaksudkan Saifuddin merujuk tindakan ahli-ahli parlimen PKR - diketuai bekas timbalan presidennya - Azmin Ali yang meninggalkan parti ketika berlaku krisis politik 'Langkah Sheraton' pada Feb 2020.

Krisis politik itu menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, dan Azmin serta kumpulannya menyertai Bersatu bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.

Meskipun tidak menyebut nama pemimpin PKR yang dikatakan memilih untuk bercuti itu, Saifuddin dipercayai merujuk kepada bekas naib presiden PKR, Rafizi Ramli.

Rafizi tidak aktif dalam politik sejak pemilihan PKR pada penghujung 2018, apabila dia tewas tipis kepada Azmin dalam perebutan jawatan timbalan presiden.

Namun pada 15 Mac lalu Rafizi membuat kejutan apabila mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan PKR akan datang.

Nama Saifuddin sendiri disebut-sebut akan mencabar jawatan berkenaan di samping bekas pembantu Anwar, Farhash Wafa Salvador Mubarak.

Sebelum ini Rafizi dilihat sebagai pemimpin PKR yang lantang dan pernah beberapa kali mengkritik keputusan yang dibuat parti itu.

‘Jangan beri ultimatum’

Menurut Saifuddin, biropolitik dan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR (MPP) menjadi platform menyusun segala langkah dan strategi parti.

"DSAI kekal dengan disiplin organisasi yang tinggi. Tekun mendengar pandangan semua. Sabar memberi bimbingan dan tunjuk ajar.

"Sesekali tegas dan keras dalam membuat keputusan. Pesanan beliau mudah. Sebelum parti buat keputusan sila beri pendapat.

"Boleh setuju boleh tidak setuju. Tegur dan kritik tapi jangan sesekali beri “ultimatum”,” katanya.

Tambah Saifuddin, apabila PKR membuat keputusan, pimpinannya perlu patuh dan melaksanakan keputusan berkenaan.

"Begitulah PKR. Setiap keputusan parti dibincang dan diputuskan bersama. Baik buruk sesuatu keputusan parti kita ambil tanggungjawab.

“Jauh sekali berlepas tangan. Ini prinsip pertanggungjawaban yang kita anuti," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan