Mahiadin: Tiada unsur fitnah terhadap Zahid, reputasinya memang rosak

FMT Reporters

KUALA LUMPUR: Muhyiddin Yassin mendakwa Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh mendakwa dirinya difitnah, kerana reputasi presiden Umno itu sudah sedia dipersoalkan dan “rosak”.

Bekas perdana menteri berkata, ini termasuk perbuatan Zahid memungkiri janji, malah beliau memetik tindakan ahli Parlimen Bagan Datuk itu melanggar janjinya untuk menyokong dirinya dan kerajaan Perikatan Nasional pimpinannya ketika itu.

Muhyiddin berkata, Zahid telah menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa sekumpulan ahli Parlimen Umno menyokong Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

“Plaintif (Zahid) meskipun dengan janji-janji beliau untuk menyokong defendan (Muhyiddin) sebagai perdana menteri, telah mengetuai gerakan untuk menarik balik sokongan beliau terhadap defendan,” katanya dalam pernyataan pembelaan yang difailkan dua hari lalu.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata Zahid secara aktif berusaha memastikan menteri besar Bersatu di Perak serta Johor dijejaskan dan disingkirkan, walaupun telah membuat janji secara peribadi kepada dirinya.

Katanya, Zahid telah digelar sebagai pembohong oleh beberapa orang termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad kerana membuat kenyataan palsu termasuk mendakwa nama pemimpin itu sebenarnya adalah Mahathir a/l Iskandar Kutty.

Muhyiddin berkata, Zahid turut membuat dakwaan palsu di Mahkamah Tinggi menerusi peguamnya sekitar Mac 2020 ketika perbicaraan jenayah terhadapnya, bahawa presiden Umno itu dijadualkan bermesyuarat dengannya. Perkara itu dinafikan Pejabat Perdana Menteri seterusnya pendakwaan menyelar Zahid sebagai “pembohong” malah dia diugut dengan tindakan menghina mahkamah.

Sementara itu, Muhyiddin berkata penggantinya Ismail Sabri Yaakob dari Umno/BN memaklumkannya bahawa beliau tidak bersetuju untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan.

“Menteri besar negeri Johor yang merupakan ahli Umno, tidak akan memulakan pembubaran DUN tersebut tanpa arahan atau persetujuan plaintif selaku presiden Umno,” katanya.

Muhyiddin turut mengakui menyampaikan ucapan di Tenggaroh, Mersing, namun menafikan ia bersifat palsu, fitnah atau dibuat dengan niat jahat.

“…dakwaan plaintif bahawa beliau diletakkan dalam ‘skandal awam’ dan ‘rasa benci di kaca mata masyarakat terhadap plaintif bukanlah disebabkan pernyataan defendan, tetapi terutamanya adalah disebabkan kelakuan plaintif sendiri dan reputasi buruknya yang sedia ada,” katanya.

Secara alternatif, Muhyiddin berkata beliau bersandarkan antara lain kepada pembelaan justifikasi dan kepentingan bersyarat.

Mac lalu, Zahid memfailkan saman terhadap Muhyiddin kerana didakwa menerbitkan kata-kata fitnah di media sosial bahawa presiden Umno itu mendapatkan bantuannya bagi menggugurkan kes rasuah terhadapnya, ketika ketika kempen pilihan raya negeri Johor.

Zahid yang sedang dibicarakan bagi 80 tuduhan rasuah di mahkamah di Kuala Lumpur dan Shah Alam turut memfailkan saman terhadap Mahathir selepas pemimpin itu mendakwa beliau dan beberapa yang lain menemuinya di kediamannya pada 2018 untuk meminta tuduhan terhadapnya digugurkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan