DR SHAHNOR BASRI
Pemilihan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang melalui fasa-fasa kempen, perdebatan dan persaingan antara pasukan. Persaingan paling ketara adalah diantara pasukan Datuk Seri Saifuddin Nasution dengan pasukan saudara Rafizi. Kedua-keduanya mempunyi kelebihan, kekuatan dan strategi pendekatan masing-masing.
Pelbagai ulasan boleh kita lihat pro dan kontra dalam media sosial, kumpulan whatsapp ataupun ulasan pengulas politik ‘kedai kopi’. Masing-masing menegakkan kelebihan calon yang mereka dokong dan malah ada yang memberikan pukulan panas kepada kumpulan yang mereka tidak mahu memberikan sokongan.
Saudara Rafizi mengibarkan panji ‘Ayuh Malaysia’ dan saudara Datuk Seri Saifuddin baru sahaja mengibarkan bendera “Kita Semua KEADILAN”. Terdapat kempen terhadap keperluan satu khemah besar untuk mara menjuarai PRU 15, manakala satu pasukan lagi mahukan pengundi atas pagar disantuni dengan tawaran terbaik untuk memenangi hati pengundi dan seterusnya mara menjuarai PRU akan datang.
Dalam pemilihan yang lepas DS Azmin Ali telah memenangi kerusi Timbalan Presiden PKR meninggalkan Rafizi pada kedudukan yang sangat tipis untuk menduduki kerusi Timbalan. Walaubagaimanapun Azmin dan sebahagian pasukannya telah mengkhianati perjuangan dan meninggalkan PKR dan kerajaan atas apa jua alasan.
Alasan yang paling tepat yang boleh disimpulkan adalah mereka yang meninggalkan perjuangan dan mandat rakyat ini adalah kerana tiada kejujuran, pendusta politik dan khianat demi kepentingan pangkat serta kedudukan.
Saudara Rafizi mengibarkan panji ‘Ayuh Malaysia’ dan saudara Saifuddin baru sahaja mengibarkan bendera “Kita Semua KEADILAN”
Pengkhianatan ini dituruti dengan sikap bongkak dan tiada setiakawan serta ‘amal jamaie’ oleh Tun Mahathir yang meletak jawatan tanpa berunding dengan pasukan Pakatan Harapan yang telah bersetuju mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri. Tidak dapat juga dilupakan Mahiaddin dan Bersatu yang menikam PH demi untuk menjadi Perdana Menteri bersama juara lompat dalam kalangan bekas ahli parlimen Umno yang menyertai Bersatu dan dari kalangan ahli parlimen penunggang agama. Dalil khianatnya adalah untuk melindungi Melayu dan agama!.
Penulis tiada masalah sama ada Datuk Seri Saifuddin ataupun Sdra Rafizi. Cuma yang menyebabkan kita tertanya-tanya adalah pendokong di belakang Datuk Seri Saifuddin dan juga tentera siber di belakang Sdra Rafizi yang banyak menjadi api yang mengulas segala perkara demi untuk membakar keadaan. Inilah yang meresahkan.
Kita sedia maklum ketika berlakunya Langkah Sheraton, Azmin sebenarnya bukan bersendirian bersama Zuraidah (yang kini seakan lenyap di persada politik tanahair) memainkan peranan membawa keluar beberapa MP PKR menyeberang untuk bersama Bersatu, Umno, Pas dan gabungan dari Sabah dan Sarawak untuk membentuk kerajaan khianat pintu belakang.
an sebahagian penyokong Azmin atau kartel masih lagi di dalam gabungan PH khususnya PKR sama ada berada dalam kerajaan-kerajaan negeri PH atau pun terdiri dari anggota parlimen dan DUN. Dan paling ketara mereka ini dibelakang Sdra Datuk Seri Saifuddin dengan kini mengibar sama sepandok ‘Kita Semua KEADILAN”!
PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah-oleh mudah lupa dengan para pengkhianat ini terutamanya yang masih di dalam PKR! Sekiranya ini tidak di tangani, penulis amat sangsi dengan keikhlasan mereka dan tidak mustahil Langkah Sheraton 2.0 atau Pengkhianatan 2.0 bakal berlaku lagi. Dalam hal ini penulis bersetuju dengan Saudara Rafizi bahawa najis mughalazah pengkhianat dan kartel yang masih di dalam PKR wajib dibersihkan.
DSAI perlu ingat bahawa Langkah Sheraton, rundingan cukup bilang untuk membentuk kerajaan dengan sokongan yang cukup, kukuh dan meyakinkan, semuanya telah di akhiri dengan penipuan. Rundingan untuk menggugurkan Mahiaddin sebagai Perdana Menteri juga akhirnya tidak memberikan apa-apa faedah dan manfaat kepada PH, melainkan kita dipermainkan dan ditipu dengan kononnya pembentukan ‘jajaran baharu’. Keghairahan kembali menjadi kerajaan akhirnya merupakan sejarah hitam (black history) kepada PH.
Penulis mengikuti secara dekat bahawa di belakang Sdra Rafizi terdiri sebahagiannya tentera siber yang membuat liputan langsung (live) hampir setiap malam (nota: sama ada tentera rasmi atau persendirian). Antara yang kerap membuat liputan dan ulasan gerak kerja Rafizi adalah seorang anggota PKR yang telah digantung keahlian.
Ulasannya ada yang benar dan banyak juga yang keterlaluan dalam memberikan ulasan serta noktah-noktah ulasannya juga seakan mengapi-apikan. Kadang kala membuat kesimpulan atau ulasan yang seolah-olah beliau serba tahu serta pengulas yang paling tepat (sharp commentator). Berhati-hatilah dengan pengulas batu api sebegini, kerana ia akan menimbulkan keresahan ahli dan akhirnya membawa kepada perpecahan dan membina sikap berpuak-puak yang tebal. Yang akan rugi adalah perjuangan ini terutamanya PKR dan PH.
Penulis melihat kedua-kedua pesaing mempunyai kekuatan tersendiri, kelebihan masing-masing dan sebagai aset kepada perjuangan. Yang sangat bermasalah adalah mereka yang menjadi pelakon di belakang kedua-duanya. Ada yang mempunyai kepentingan yang merupakan sokongn yang membawa rebah dan tidak kurang juga yang jujur dan ikhlas mahu membawa kepasda agenda asal reformasi menyeluruh.
Pada waktu yang sama DSAI terutamanya dan PKR khususnya, jangan lupa apa yang telah dilakukan oleh para pengkhianat dan sebahagian mereka masih lagi menjadi haiwan berbisa yang sedang menunggu mengeluarkan taring dan bisanya untuk membunuh agenda reformasi. Dan para anggota juga tidak seharusnya terperdaya dan terpengaruh dengan pengulas politik pinggiran yang yang miskin akal budi, bukan untuk membawa perpaduan, kesatuan dan memberikan ulasan yang adil di media sosial atau rancangan-rancangan siar raya politik secara langsung (political live telecast), sama ada di media seperti YouTube atau Facebook.
Kepada anggota PKR selamat memilih dan berkonvensyen, namun jangan lupa pemilihan yang silap langkah akan membawa kepada PENGKHIANATAN 2.0 dan hancur segala-gala yang telah di mulakan lebih 20 tahun yang lalu. Kepada DSAI menjadi pemaaf memanglah mulia di sisi Allah, namun berhati-hati dengan golongan pejuang munafik akan menyelamatkan ummah dan perjuangan ini keseluruhannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan