Sultan Selangor 'tazkirahkan' menteri PAS

Malaysiakini 

Sultan S’gor cadangkan Idris Ahmad hadir ke Festival Bon Odori

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mencadangkan agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad supaya hadir ke program sambutan Bon Odori pada 16 Julai 2022 di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic).

Titah baginda, ini supaya pemimpin PAS itu dapat memahami perbezaan di antara agama dan budaya.

“Baginda juga tidak mahu menteri itu menggunakan platform Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membuat kenyataan yang mengelirukan dan tidak tepat serta boleh menjejaskan imej dan reputasi Jakim,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook, Selangor Royal Office.

Idris pada 6 Jun lalu menimbulkan kontroversi susulan nasihatnya supaya umat Islam tidak menyertai Festival Bon Odori yang akan berlangsung pada 16 Julai ini kerana didapati mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.

Katanya, kajian yang dibuat Jakim mendapati festival itu memang ada unsur-unsur keagamaan.

Sultan Sharafuddin berpandangan apa saja bentuk budaya yang diamalkan oleh setiap masyarakat di dunia ini, sememangnya ada hubungkait dengan agama.

“Namun seiring peredaran zaman, amalan-amalan budaya ini tidak lagi menonjolkan ciri-ciri keagamaan.

“Baginda tidak mahu pihak-pihak tertentu khususnya ahli-ahli politik menggunakan isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama sebegini untuk kepentingan peribadi dan meraih populariti semata-mata.

“Baginda menggesa mereka agar tidak sewenang-wenangnya melabelkan sesuatu perkara itu negatif tanpa membuat kaji selidik yang mendalam. Mereka juga perlu berlaku adil dalam membuat apa jua kenyataan umum yang melibatkan keharmonian bermasyarakat.”

Menurut Sultan Sharafuddin sambutan Bon Odori di Malaysia lebih kepada festival kebudayaan yang mempamerkan budaya tradisional rakyat Jepun khususnya tarian, persembahan gendang, perhiasan tanglung, pakaian dan makanan tradisi Jepun serta produk makanan tempatan.

“Ia juga dipromosikan sebagai hari untuk menyatukan kembali keluarga dan rakan-rakan yang sudah lama tidak bertemu,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah festival itu telah menjadi popular apabila banyak syarikat dari Jepun melabur dan membuka cawangan kilang mereka di Selangor dan ia telah menjadi platform bagi memperkenalkan budaya hiburan Jepun.

Baginda turut memaklumkan bhawa dirinya sendiri pernah menghadiri sambutan perayaan ini pada 2016 dan menerusi pemerhatian baginda, sambutan Bon Odori tidak melibatkan upacara berbentuk keagamaan atau ritual (syirik) yang boleh memesongkan akidah mereka yang hadir menyaksikan.

Bagaimanapun, baginda telah menitahkan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan wakil Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke festival tersebut bagi mendapatkan gambaran sebenar dan memastikan sambutannya tidak merosakkan akidah umat Islam.

Semalam Sultan Selangor itu menitahkan supaya Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak menyekat program kebudayaan Jepun Bon Odori di Shah Alam.

Perkara itu dimaklumkan kepada Pengarah Jais, Mohd Shahzihan Ahmad semasa majlis menghadap di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan