FAZLI RADZI
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berpendapat Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sangat ‘desperado’ apabila mahu menjadikan Kuala Selangor sebagai daerah angkat kementerian tersebut.
Ahli Parlimen Kuala Selangor itu menyifatkan senator berkenaan termasuk pengumuman meluluskan Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) di Puncak Alam adalah tindakan terdesak.
“Menjadikan Kuala Selangor sebagai ‘daerah angkat’ Kementerian Kewangan, yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Menteri dalam sejarah lebih 60 tahun kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional (BN) ternyata beliau sangat ‘desperado’,” dipetik BH.
Kelmarin, Zafrul ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat Kuala Selangor mengumumkan kelulusan bagi pembinaaan stesen jajaran utara ECRL di Puncak Alam.
Dalam masa sama, dia menyatakan secara peribadi sememangnya sedikit sentimental dengan Kuala Selangor dan mengumumkan hasratnya menjadikan daerah itu sebagai Daerah Angkat Kementerian Kewangan.
Sebelum ini, Zafrul dilihat kerap membuat program lawatan di Kuala Selangor sekali gus menimbulkan persoalan kemungkinan dia mungkin akan bertanding di kawasan itu untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly yang juga Pengarah Strategik Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, beliau bimbang dengan gelagat Zafrul yang dilihat terdesak dan seakan memberikan sogokan politik.
Menurutnya, tanggapan bahawa Zafrul amat cenderung dengan budaya ‘Cash is King’ juga adalah amat membimbangkan dan terdedah kepada ‘moral hazard’ dalam suasana negara bercita-cita membanteras amalan salah guna kuasa dan rasuah.
“Saya optimis rakyat dan pengundi Kuala Selangor tidak akan mudah ‘digula-gulakan’ dengan tindakan sogokan politik dan membeli sokongan politik seperti ini,” tambah Dr Dzulkefly lagi.
Zafrul bulan lalu bersama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar dan belia di Puncak Alam menonton bola final Liverpool dan Chelsea sempena Karnival Belia Kuala Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan