37 tahun membedah politik Malaysia: Satu catatan persaraan
Mohammad Agus Yusoff
Tahun 1985 semasa saya baru bertugas, berlaku tragedi Memali. Satu sebab utamanya ialah kesan amanat seorang pemimpin PAS yang diucapkan di Kampung Banggol, Peradong pada April 1981. Bahaya amanat ini dan amanat ini sampai sekarang belum lagi ditarik balik.
Demokrasi Malaysia juga begitu, selama 37 tahun saya menilainya hanya prosedural, setakat ada pilihan raya secara berkala sahaja. Dari dahulu, ada sahaja akta yang menyekat keberanian rakyat untuk bersuara.
Mengkritik dan menegur kerajaan, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) menanti walaupun sebenarnya ia bertujuan untuk menangkap dan menahan tanpa bicara mana-mana orang yang memudaratkan keselamatan negara atau mana-mana perkhidmatan perlu di dalamnya atau kedudukan ekonominya.
Biarpun begitu tujuan ISA, mengkritik kerajaan dan mempertahankan hak-hak asasi manusia juga dianggap sebagai memudaratkan keselamatan negara. Oleh sebab itulah, ramai yang bertentangan dengan kerajaan di bawah ISA.
Setelah ISA dimansuhkan, saya membayangkan rakyat akan mempunyai ruang untuk berhimpun dan bersuara. Ruang itu memang ada sekarang, tetapi tetap dibataskan dengan pelbagai akta dan sekatan baru. Ekspresi demokrasi mandul lagi.
Ini yang membimbangkan saya. Saya bimbang sekiranya intelektual tidak berani bersuara lagi dan menjadi bisu untuk menegur kerajaan. Saya sendiri merasakan begitu.
Kawan-kawan dalam politik yang berjawatan, apabila ada sedikit perbezaan pendapat tidak lagi bertegur sapa, dan tidak lagi menjawab pesanan WhatsApp. Saya harap pemimpin kita selepas ini berjiwa besar dan bersedia meraikan perbezaan pendapat, apatah lagi apabila perbezaan itu adalah berkaitan dengan hal-hal pengurusan negara.
Kini PRU15 menghampiri, semua parti ada masalah masing-masing. Pun begitu, sejujurnya jika diadakan PRU sekarang, BN mempunyai kelebihan kerana kuasa incumbentnya, dan parti oposisi pula dalam keadaan keliru antara perlu khemah besar atau sebaliknya.
Saya menolak khemah besar. Parti politik yang kuat di Malaysia cuma Umno, PAS, PKR dan DAP sahaja. Parti-parti lain kecil, tidak ada akar umbi yang kuat, dan bukan bersifat nation-wide parties.
Dalam PRU akan datang, saya berharap hanya dua gabungan parti sahaja bersaing—BN dan PH. Oleh itu, PH hanya perlu ada PKR, DAP, Amanah dan Upko sahaja. Upko kerana ia bersama PH sejak tahun 2018 dan tidak melakukan pengkhianatan kepada PH. Muda juga boleh dipertimbangkan kerana mereka juga belum ada sejarah mengkhianati PH.
Jika PN bertanding sebagai gabungan ketiga, itu lagi menarik. Rakyat akan menilai parti pilihan masing-masing. Sekiranya Bersatu tidak membuat impak dalam PRU15, maka setakat itu sajalah Bersatu signifikan dalam politik Malaysia.
Pejuang, biarpun bersetuju dengan khemah besar asalkan tanpa Anwar Ibrahim, dan mahu bertanding sekurang-kurangnya 120 kerusi bagi membentuk kerajaan, jika menang, bagi saya hanya khayalan sahaja.
Saya menaruh harapan besar untuk politik Malaysia berubah setelah PH menang dalam PRU14. Saya mengharapkan berlaku pendemokrasian politik Malaysia.
Malangnya, ia tidak berlaku. Dan lebih malang lagi setelah beberapa polisi kerajaan PH ketika itu melanggar manifesto Buku Harapan dan memijak intelek rakyat, ramai ahli parlimen dan menterinya diam tidak bersuara.
Bahaya kuasa ini, ia membuatkan pemimpin yang sebelum ini melaungkan reformasi menjadi kaku dan terkunci mulut. Mujurlah berlaku Langkah Sheraton, setidak-tidaknya pemimpin yang kehilangan kuasa tadi mendapat pengajaran daripadanya, jika mahu sedar.
Rakyat lega apabila kerajaan berubah. Harapan rakyat agar kesilapan kerajaan BN dan PH tidak diulangi. Namun, yang berlaku tetap sama.
Selain Covid-19 yang memangsakan kerajaan PN, kerajaan ini juga membonsaikan demokrasi. Tidak mahu mendengar jeritan rakyat, mengamalkan tindakan dua darjat, membentuk kabinet gemuk dan melantik duta khas yang entah apa fungsinya, menutup parlimen, dan lain sebagainya.
Kerajaan Keluarga Malaysia juga begitu, kabinetnya gemuk, ada duta khas yang keberkesanannya tidak jelas, dan pelantikan pelbagai jawatan yang melukakan perbelanjaan negara dalam keadaan rakyat menghadapi kesusahan hidup.
Negara sebenarnya bermasalah. Kita menghadapi inflasi. Inflasi adalah keadaan di mana harga barang dan perkhidmatan meningkat, sebaliknya daya beli mata wang turun. Inflasi mencerminkan ketika harga barang dan perkhidmatan naik, mata wang akan kehilangan nilainya kerana hanya mampu membeli lebih sedikit barang berbanding sebelumnya.
Bagi mengawal inflasi ini, maka kerajaan menaikkan OPR. Ahli ekonomi bersetuju peningkatan OPR sebagai langkah terbaik untuk ‘menjinakkan’ peningkatan indeks harga pengguna (IHP) dan kemerosotan kadar tukaran ringgit.
Namun, menaikkan OPR ini ada kesan negatifnya. Rakyat yang mempunyai pinjaman bank akan terbeban. Rumah dan kereta akan banyak tidak terjual kerana bunga pinjaman yang meningkat.
Oleh itu, kerajaan perlu “address supply side issues by allowing goods and services to flow easily to meet demand.” Kerajaan perlu mengumpulkan pakar ekonomi dari universiti, untuk memikirkan langkah mengatasi masalah rakyat ini.
Tolonglah jangan biarkan rakyat menjerit, kelaparan dan sakit. Bagi menjimatkan ketirisan ekonomi, kerajaan perlu menghentikan amalan mencipta kartel, monopoli dan kroni. Berubahlah.
Maju mundur negara
Kepimpinan politik menentukan maju atau mundur sesebuah negara. Pada tahun 1994, berlaku genosid di Rwanda yang mengorbankan 500, 000 kaum Tutsi oleh militia Hutu. Apabila Paul Kagame menjadi presiden pada tahun 2000, dia membangunkan Rwanda sehingga menarik kedatangan pelancong dan menjadikan pelancongan sebagai pendapatan utama Rwanda.
Selain itu, Rwanda sekarang adalah hab tekonologi bagi Afrika. GDP nominalnya juga meningkat laju dari US$127 pada tahun 1994 kepada US$909.9 pada tahun 2022. Begitu juga Indonesia di bawah Joko Widodo sekarang. Negaranya begitu pesat membangun dan ini adalah disebabkan oleh kepemimpinan negaranya.
Malaysia juga perlu mempunyai pemimpin yang hebat jika mahu negara maju. Sekiranya saya ditanya siapa pilihan terbaik untuk mengendalikan negara, jika daripada Umno saya akan menyebut Khairy Jamaluddin.
Dia berani, tegas dengan pandangannya, artikulatif, cerdik, dan berwibawa untuk mewakili negara di persada antarabangsa.
Jika secara keseluruhannya, tanpa mengambil kira parti mana yang menang nanti, pilihan pertama saya adalah Anwar Ibrahim. Dalam tulisan sebelum ini, saya telah memberikan empat alasan kenapa saya memilihnya.
Kali ini, tanpa mengulanginya, saya memilih Anwar, kerana dia berpengalaman, bernyawa dengan denyut nadi rakyat, dan mempunyai jiwa reformasi. Saya yakin beliau boleh membawa Malaysia ke arah kecemerlangan dan berintegriti sehingga Malaysia kembali mendapat perhatian masyarakat dunia.
Saya sedih untuk meninggalkan mahasiswa saya. Merekalah sumber kekuatan dan semangat saya untuk berkarya. Dalam setiap kuliah, saya sering menyampaikan pesan-pesan saya.
Bagi mahasiswa sarjana falsafah (PhD) pula, dalam setiap pertemuan, saya yakinkan mereka, saya tidak akan tinggalkan mereka. Mereka bukan setakat harta dan kasih saya, tetapi harta negara. Saya berdoa agar mereka terus maju.
Hari ini, 11 Julai, saya secara rasminya bersara. Sebagai mengakhiri khidmat, saya perturunkan catatan saya tentang politik negara. Salam Aidiladha.
MOHAMMAD AGUS YUSOFF merupakan penganalisis politik dan pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan