Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar rakaman video memaparkan lelaki (baju hijau) menampar kepala jemaah (baju merah) selepas selesai solat di Masjid An-Nur. FOTO tular
Manjung: Gara-gara tidak memandang muka ketika bersalaman, seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila menampar belakang kepala seorang jemaah di Masjid An-Nur, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian yang dibuat mangsa berusia 30-an.
Menurutnya, kejadian berlaku di antara mangsa yang juga anggota TLDM dan suspek iaitu pesara TLDM di masjid berkenaan selepas selesai solat Asar pada 5.10 petang.
"Selepas selesai solat, mangsa bersalaman dengan suspek yang tidak dikenali sebelum suspek tiba-tiba menampar belakang kepala mangsa dengan kuat hingga terkena telinga kanannya.
"Susulan itu mangsa mengalami sakit di bahagian belakang kepala dan telinga," katanya di sini, hari ini.
Nor Omar berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca kerana mangsa didakwa tidak memandang muka suspek ketika bersalaman.
"Ia menyebabkan suspek yang juga pesara TLDM berusia 46 tahun berang dan beranggapan mangsa bersikap kurang ajar dengannya," katanya.
Beliau berkata, kedua-dua pihak sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Manjung untuk dirakam percakapan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.
"Mangsa dalam kes ini kemudiannya tidak mahu meneruskan siasatan dan sudah menarik semula laporan polis yang dibuat. Kes ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
"Susulan itu, polis menyeru dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan tidak menularkan video berkenaan kerana kes itu sudah selesai," katanya.
Terdahulu, satu video berdurasi 37 saat yang memaparkan seorang lelaki menampar belakang kepala seorang jemaah selepas selesai solat tular di media sosial sejak semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan