MOHD ALI HASHIM
Kalau tidak dapat jelaskan mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak ambil tindakan terhadap sesiapa pun dalam isu skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS), lebih baik Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berundur dan melepaskan jawatan.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, SPRM telah pun menerima laporan audit forensik skandal LCS yang mengandungi pelbagai perkara yang boleh membawa kepada dakwaan rasuah selama lebih dari dua tahun.
Manakala Azam pula tidak menafikan yang SPRM telah memiliki laporan audit forensik yang dijalankan oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd bagi pihak Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) selama lebih dari dua tahun yang mengandungi pelbagai perkara yang boleh membawa kepada pertuduhan rasuah.
“Mengapa, selepas dua tahun menerima laporan audit forensik, SPRM masih gagal untuk mendakwa sesiapa pun dalam skandal perolehan tentera laut terbesar dalam sejarah negara ini
“Jawapan dari Azam mengenai tiga pertuduhan terhadap bekas pengarah urusan Boustead Heavy Industries Corp, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor, yang tidak berkaitan sama sekali dengan skandal LCS kerana tuduhan-tuduhan tersebut adalah mengenai perkara yang terjadi sebelum pengeluaran Surat Anugerah (LQA) kontrak perolehan LCS yang bernilai RM9 billion pada 16 Disember 2011.
“Transaksi meragukan dalam laporan audit forensik skandal LCS dari tahun 2011 ke tahun 2014 dengan 10 muka surat digelapkan telah menimbulkan pelbagai persoalan dan mengapa SPRM masih tidak mendakwa sesiapa pun mengenai skandal terbabit selepas dua tahun berlalu, ” ujar beliau.
Tambahnya lagi, skandal LCS yang melibatkan RM9 bilion adalah skandal 1MDB yang baharu kerana laporan audit forensik menunjukkan keadaan di mana hanya seekor ‘jerung’ yang amat besar sahaja yang boleh mengatur skandal mega sebesar ini,.
Sehubungan itu soal beliau, apakah SPRM telah menyiasat siapakah ‘jerung’ besar di sebalik skandal LCS serta apakah sebabnya kabinet tidak membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja atau pun bimbang ‘jerung’ besar terbabit akan terdedah dan terbongkar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan