Bekas pengarah SPRM imbas kembali fitnah, ugutan ketika siasat kes SRC

Malaysiakini

Bekas Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Bahri Mohammad Zin, yang memainkan peranan penting dalam siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd, menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadap Najib Razak semalam membuktikan kebebasan sistem kehakiman.

Bahri juga mengimbas kembali bagaimana dia dan pasukannya berada dalam tekanan ketika menyiasat kes SRC, dengan fitnah, ugutan dan tawaran habuan agar menghentikan siasatan.

"Paling tidak boleh saya lupakan ialah apabila timbalan pendakwa raya SPRM dan beberapa pegawai BOK ditahan sebelum difitnah.

"Saya pernah berasa 'keseorangan' ketika anak buah saya dianiaya dan saya sendiri ditukarkan ke JPM ketika itu," katanya seperti dipetik Berita Harian, hari inI. 

Pada 2015, siasatan SPRM terhadap kes SRC diganggu apabila polis menyerbu pejabat mereka dan menangkap beberapa pegawai dalam pasukan Bahri. Timbalan pendakwa raya SPRM pula ditahan reman.

Bahri dan seorang lagi pegawai kanan SPRM, Rohaizad Yaakob, kemudian dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri.

Dia kemudian bersara awal pada 2017 ekoran kekecewaan berhubung kes SRC namun kembali bertugas pasa Mei 2018 selepas PH mengambil alih pentadbiran persekutuan.

Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun di Kompleks Penjara Kajang. Dia juga didenda RM210 juta.

Kata Bahri lagi, keputusan itu menyangkal tanggapan yang Najib akan "diselamatkan" kerajaan.

"...Sekali gus melambangkan sistem kehakiman kita benar-benar bebas walaupun membabitkan kes berprofil tinggi dan sensitif seperti ini," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan