Lebai pun boleh terkeliru dengan mubahalah

Malaysiakini 

Mubahalah buat Zuhdi tak yakin Najib benar-benar bersalah

Keberanian Najib Razak melafazkan sumpah mubahalah pada hujung minggu lalu menyebabkan seorang pemimpin PAS belum yakin belas perdana menteri itu benar-benar bersalah atas tuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marsuki berkata dia menghormati keputusan hakim di Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan ke atas Najib semalam.

Pun begitu, kata Mohd Zuhdi, secara peribadi suara hatinya memberitahu Najib benar-benar melakukan kesalahan seperti yang dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

"Keberanian Najib untuk melakukan sumpah mubahalah - walaupun ia bukan sebahagian daripada proses perundangan - menyebabkan saya berpendirian sedemikian," katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Zuhdi yang merupakan setiausaha politik kepada Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, menambah Najib banyak berjasa kepada negara, termasuk melaksanakan transformasi dasar dan amalan yang ditinggalkan Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Katanya dia yakin tanpa transformasi Najib itu negara akan kurang bersedia menghadapi pandemik Covid-19 baru-baru ini.

"Tidak dapat dinafikan, peranan Najib adalah besar untuk membuka perdamaian di antara PAS dan Umno yang telah bermusuhan begitu lama sebelum ini," kata anggota AJK PAS Pusat secara lantikan itu.

Bekas AJK PAS Pusat Mohd Khairuddin Aman Razali pula menasihatkan semua pihak agar tidak mentertawakan Najib.

Tidak jadi tuntutan

Sebagai perdana menteri, katanya, Najib mempunyai jasa tersendiri kepada negara dan rakyat dalam tempoh puluhan tahun.

"Jangan menghina orang yang dijatuhkan hukuman kerana hukuman tidak menggugurkan penghormatan," katanya.

Ulama PAS yang terkenal, Ahmad Dusuki Abd Rani, pula tidak menyebut nama Najib secara khusus dalam salah satu hantarannya di media sosial.

Sebaliknyadia berkata pengadilan yang dilakukan di dunia ini "penuh kekeliruan."

"Antara mahkamah manusia dan mahkamah Allah, pengadilan Allah jualah penuh keadilan. Dunia ini penuh kekeliruan," katanya.

Untuk rekod Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan pada 2019 memberitahu amalan mubahalah (sumpah laknat) tidak ada dalam perundangan Islam kecuali membabitkan li'an.

Kata Zulkifli Mohamad yang menjadi mufti ketika itu istilah mubahalah (saling laknat melaknati) dikategorikan dalam sumpah membabitkan perdebatan bagi menyokong hujah yang benar dan menolak hujah palsu.

"Mubahalah tidak menjadi satu tuntutan sekiranya kes masih berjalan di mahkamah.

"Bahkan proses keadilan di mahkamah, tidak eksklusif pada sumpah sahaja, bahkan pembuktian yang lain seperti pengakuan, penyaksian dan pembuktian di hadapan hakim," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan