Malaysiakini
Dr Mahathir Mohamad sekali lagi melemparkan kritikan tajam terhadap seteru politiknya, Najib Razak, yang disifatkannya sebagai individu yang paling "berjaya menterbalikkan" orang Melayu.
Pengerusi Pejuang itu mendakwa kejayaan terbesar Najib adalah menanam pendapat dalam kalangan orang Melayu untuk tidak malu meski mencuri.
"Dahulu orang Melayu memandang rendah kepada orang yang mencuri. Mereka amat malu jika ada ahli keluarga yang terlibat dengan jenayah, dengan mencuri dan sebagainya.
"Tetapi sekarang orang Melayu tidak lagi berasa malu. Apa nak malu? Najib menanam pendapat bahawa apa nak malu jika ia mencuri.
"Dia boss. Boss boleh mencuri. Kalau boss tak malu kerana mencuri, orang Melayu pun tak perlu malu bila mencuri," kata bekas perdana menteri itu dalam hantaran di Facebook, semalam.
Akibatnya, kata ahli parlimen Langkawi itu, ramai orang ketika ini tak tahu malu.
"Ada yang sampai cium tangan. Kenapa cium tangan? Boleh dapat duit. Boleh dapat jawatan. Apa nak malu.
"Kalau tangan berbau najis, tak apa. Ada duit dalam najis. Terbongkok-bongkoklah nak cium tangan. Apa nak malu. Kalau tangan bersalut tahi tetapi ada duit, okaylah. Tak payah malu," sindirnya.
Tambah ahli parlimen Langkawi itu lagi, dunia mentertawakan Malaysia dengan kelakuan yang memalukan.
"Inilah kejayaan Najib yang terbesar. Orang Melayu tak perlu malu. Terima duit yang dicuri, tak malu. Minta duit free, tak malu. Tak bayar hutang tak malu. Pilih pencuri, perasuah, banduan sebagai perdana menteri, okay. Tak malu.
"Dunia ketawa negara Malaysia kerana tak malu dengan kelakuan yang memalu, tak malu," katanya.
Najib yang juga merupakan pengerusi Lembaga Penasihat BN kini dalam proses menyelesaikan rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan berhubung sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Semalam, bekas perdana menteri itu sekali lagi malafazkan sumbah menafikan penglibatannya dalam penyelewengan dana SRC.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan